`Pembentukan kerajaan di enam negeri sukar’ - Utusan Malaysia

`Pembentukan kerajaan di enam negeri sukar’

MUJIBU ABD. MUIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terdapat kemungkinan enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini sukar membentuk kerajaan negeri masing-masing kerana setiap parti atau gabungan hanya mendapat undi majoriti tipis.

Keadaan itu boleh berlaku sekiranya parti-parti politik dalam kerajaan perpaduan gagal mencapai persefahaman mengenai formula agihan kerusi sehingga menguntungkan pembangkang, Perikatan Nasional (PN).

Enam negeri yang akan terlibat dalam pilihan raya tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah program Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, parti-parti politik kerajaan dianggotai Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan (Wa­risan) mesti mengagih kerusi secara adil bagi mengelakkan pertembungan.

Bagaimanapun, menurut beliau, PH dan BN boleh berun­ding bagi kawasan campuran di Selangor dan Pulau Pinang sebelum PN cuba mengambil peluang terutama selepas kejayaan menguasai sebahagian besar kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Tidak dinafikan PN boleh membentuk kerajaan di negeri-negeri yang mempunyai populasi pengundi Melayu yang besar manakala PH mungkin sukar meraih undi di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Di tiga negeri lain, PH masih mempunyai peluang, cuma isu utama ialah apakah gabungan ini boleh bergerak secara en bloc sebagai kerajaan perpaduan dengan persetujuan bersama supaya tidak berlaku pertentangan?,” katanya ketika dihubungi semalam.

PARTI

Kata Mujibu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menggunakan pe­ngaruhnya bagi memastikan wujud perbincangan semasa parti kerajaan.

“Masih belum kelihatan ada persetujuan rasmi antara mereka kerana Kerajaan Perpaduan ini bukan satu pakatan politik, jadi, agihan kerusi mungkin tiada. Kita tidak boleh nafi bahawa dalam PH pun, ada kerusi Melayu yang PH mahu tan­ding ketika BN-UMNO mahu bertanding di situ,” katanya.

Pada PRU-15, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing, dan pilihan raya perlu diadakan sekiranya kerajaan negeri membubarkan atau DUN terbubar dengan sendiri selepas tamat tempoh.

PH sebelum ini memberitahu belum memulakan perbincangan berkenaan kerjasama dengan BN untuk menghadapi pilihan raya, namun berpandangan tidak berdepan kesukaran bekerjasama dengan BN.

Kelmarin, Timbalan Penge­rusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, gabungan itu telah menyelesaikan kira-kira 80 peratus pembahagian kerusi DUN di enam negeri yang bakal mengadakan pilihan raya.

Warisan pula sudah me­ngembangkan sayapnya di seluruh Semenanjung dan bertanding 26 kerusi Parlimen pada PRU15, malangnya, parti itu tewas di semua kawasan ditandingi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN