Mangsa banjir Johor meningkat kepada 3,612 orang - Utusan Malaysia

Mangsa banjir Johor meningkat kepada 3,612 orang

SERAMAI 3,612 penduduk dipindahkan di 35 PPS yang dibuka akibat banjir di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat sehingga tiga kali ganda berbanding malam tadi apabila seramai 3,612 mangsa kini ditempatkan di 35 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memaklumkan, mereka yang terjejas terdiri daripada 1,014 keluarga di lima daerah yang terjejas, iaitu Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi dan Batu Pahat.

“Segamat menjadi daerah terjejas teruk akibat banjir dengan seramai 1,392 penduduk ditempatkan di 13 buah PPS, diikuti daerah Kluang dengan seramai 1,139 mangsa, Kota Tinggi (557), Mersing (403) dan Batu Pahat (121),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Antara kawasan yang terjejas di Segamat ialah Kampung Pekan Air Panas, Kampung Sungai Gatom, Labis; Kampung Paya Merah, Segamat Kecil, Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Tenang, Kampung Lembah Bakti dan Kampung Usaha Jaya.

Di Kluang, antara kawasan terjejas ialah Kampung Bentong, Kampung GSA Chamek, Kampung Tengah Dalam dan Kampung Muhibbah, Paloh.

“Antara PPS yang dibuka di seluruh negeri ini termasuk PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas; Dewan Pusat Banjir Jakoa; Dewan Serbaguna Pekan Air Panas; Dewan Komuniti Tasek dan Kompleks Taman Negara Endau Rompin,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia masih meletakkan sebahagian besar negeri ini di bawah amaran hujan berterusan, iaitu bahaya khususnya di daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bhru.

“Tiga sungai di negeri ini masih diletakkan di bawah kategori bahaya, iaitu Sungai Muar di muara Sungai Gemas dan Sungai Segamat di Segamat kecil serta Sungai Kahang di Kampung Contoh.

“Dalam pada itu, empat jalan telah ditutup sementara akibat dinaiki air, iaitu Jalan Ladang Siang di Kota Tinggi, Jalan Senai-Gemas dan Jalan Jabi-Bukit Tempurung di Segamat serta Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai akibat tanah runtuh,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya