1,591 mangsa banjir dipindahkan di Johor - Utusan Malaysia

1,591 mangsa banjir dipindahkan di Johor

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Yong Peng membantu memindahkan mangsa banjir di Pekan Labis, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hujan yang berterusan sejak pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan di seluruh negeri ini ditenggelami banjir.

Setakat pukul 8 pagi ini, seramai 1,591 mangsa banjir daripada 560 keluarga dipindahkan ke 21 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, hingga kini  banjir melanda empat daerah, iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang dan Segamat serta sebanyak lapan PPS dibuka sejak pukul 10 malam tadi diikuti 13 lagi hingga pukul 3.20 pagi ini.

“Segamat menjadi daerah paling terjejas dengan seramai 746 mangsa daripada 209 keluarga dipindahkan ke enam PPS sejak malam tadi. Antara kawasan yang terkesan akibat banjir di Segamat ialah Pekan Air Panas, Kampung Tenang, Kampung Paya Merah, Kampung Gatom Labis dan Kampung Lembah Banti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, di Johor Bahru pula, seramai 560 mangsa daripada 131 keluarga dipindahkan ke enam PPS yang terdiri daripada penduduk Kampung Cahaya Baru Masai, Kampung Pasir Tebrau, Kampung Sungai Tiram, Kampung Paya Kenangan dan Kangkar.

Sementara itu, katanya, seramai 188 mangsa daripada 166 keluarga di Kluang ditempatkan di enam PPS yang baru dibuka.

“Antara mangsa banjir terjejas di Kluang melibatkan penduduk Kampung Palembang Baru, Kampung Palembang Lama, Kampung Bentong, Kampung Muhibbah Paloh, Kampung Sembrong dan Kampung Baru.

“Di Kota Tinggi pula, seramai 123 mangsa daripada 32 keluarga dipindahkan ke tiga PPS. Kesemua mangsa adalah penduduk Kampung Sepak Hulu dan Kampung Sepak Hilir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Lintang,” katanya. 

Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menunjukkan seluruh negeri ini di bawah amaran bahaya, iaitu hujan sangat lebat berterusan yang dijangka berlaku hingga esok.

Beberapa sungai berada pada paras bahaya, iaitu Sungai Segamat dan Sungai Lenik di Segamat; Sungai Kahang (Kluang), Sungai Sayong, Sungai Skudai dan Sungai Pontian Besar (Kulai), Sungai Pulai (Pontian) dan Sungai Skudai (Johor Bahru). 

“Setakat ini, dua jalan terputus hubungan, iaitu Jalan Kluang-Mersing (Ladang Greenway), Kluang dan Jalan Bekok, Segamat. Kedua-dua jalan ini ditutup untuk semua kenderaan,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya