Lelaki maut tersepit pelanggaran dua kenderaan di Bentong - Utusan Malaysia

Lelaki maut tersepit pelanggaran dua kenderaan di Bentong

ANGGOTA bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 20, berdekatan Lurah Bilut di Bentong, Pahang. - FOTO /IHSAN IPD BENTONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan di Kilometer 20, Jalan Bentong – Raub berdekatan Lurah Bilut di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 6.40 petang itu, mangsa Mohamad Riduan M. Shafri, 23, yang memandu kereta maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala penumpang yang berusia 25 tahun cuma cedera ringan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, siasatan polis mendapati kereta yang dipandu Mohamad Riduan dari arah Bentong cuba memotong sebuah kenderaan di hadapan tetapi terbabas.

“Kereta mangsa bertembung dengan lori muatan tong gas yang dipandu lelaki berusia 57 tahun yang datang dari arah Raub ke Mentakab.

“Akibat kemalangan ini, mangsa mengalami cedera parah di kepala dan disahkan maut oleh petugas perubatan di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Zaiham, penumpang kereta berkenaan cuma mengalami cedera ringan, manakala pemandu lori tanpa sebarang kecederaan.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Zaiham selanjutnya berkata, pihak polis turut meminta kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Shahrulnizam Nasir berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub mengambil masa hampir 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Ujarnya, pasukan bomba juga melaksanakan kerja pembersihan serpihan kenderaan bagi keselamatan orang ramai di tempat kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya