Industri pelancongan boleh bertahan tanpa warga China - Utusan Malaysia

Industri pelancongan boleh bertahan tanpa warga China

 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri pelancongan negara masih mampu bertahan walaupun kemasukan pelancong China ditangguhkan bagi membendung penularan varian baharu Covid-19 dalam negara.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Dr. Mohd. Khalid Harun berkata, industri pelancongan negara dijangka tidak terlalu terjejas mahupun bedepan impak terlalu besar berikutan rakyat negara ini sendiri boleh membawa keuntungan kepada sektor itu.

“Tidak perlu terlalu khuatir tentang kerugian kerana saya yakin rakyat Malaysia mampu membawa keuntungan kepada industri pelancongan negara. Contohnya, minggu lepas saya tempah hotel di Kuala Lumpur penuh. Itu baru satu tempat. Jika di tempat pelancongan popular lain pasti lebih ramai.

“Jika kerajaan tetap ingin menerima pelancong negara lain pula, mereka perlu mengetatkan kembali penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) sehingga kes harian Covid-19 di seluruh negara reda,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, dilaporkan satu varian baharu Covid-19 ditemukan di China selain negara itu juga bakal berdepan dengan sejuta jangkitan baharu setiap hari yang membimbangkan kerana ia boleh menyebabkan kes penularan wabak di seluruh negara.

Mohd. Khalid berkata, antara SOP yang perlu diperketat semula adalah pelancong perlu menunjukkan dokumen sah mereka negatif jangkitan Co­vid-19, melakukan ujian pengesanan RT-PCR dan memastikan ada penjarakan sosial di lapangan terbang.

JANGKITAN

Katanya, cadangan itu adalah langkah yang baik berikutan jangkitan boleh dicegah secepat mungkin selain kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaan kerana tidak perlu memperuntukkan wang yang banyak untuk membeli vaksin baharu.

“Setiap varian virus Covid-19 ini mempunyai vaksin berlainan dan kerajaan perlu memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli setiap satunya. Daripada membeli vaksin baharu, lebih baik kita mencegahnya secepat mungkin.

“Peruntukan wang juga dapat dielakkan daripada pembaziran dan ia secara tidak langsung dapat digunakan untuk perkara yang berbeza seperti menambah baik infrastruktur serta meningkatkan industri pelancongan negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Khalid berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu melakukan persediaan awal lebih rapi dan teliti dengan menyiapkan peralatan-peralatan atau instrumen yang canggih untuk menangkis varian-varian baharu.

“Pada masa sama, rakyat Malaysia perlu meningkatkan tahap imuniti mereka terutama kanak-kanak dan mereka yang mudah dijangkiti penyakit kerana varian baharu ini berkemungkinan lebih berbahaya daripada yang sebe­lumnya.

“Ambillah iktibar daripada apa yang terjadi sewaktu kita mula-mula dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) dahulu, takkan nak ulangi perkara itu. Pergerakan disekat dan tidak boleh melakukan apa-apa aktiviti di luar,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar kerajaan menyekat rakyat Malaysia daripada melancong ke negara China buat sementara waktu jika tiada urusan yang mustahak.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×