Buruh dikhuatiri lemas, bot pancung tenggelam di Sungai Kelantan

Buruh dikhuatiri lemas, bot pancung tenggelam di Sungai Kelantan

ROSLIZA Mat Yusoff menunjukkan gambar Muhamad Hisyamuddin yang masih hilang selepas bot yang dinaikinya tenggelam di Sungai Kelantan dekat Kampung Paloh Rawa, Machang, Kelantan-UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Seorang buruh dikhuatiri lemas apabila bot pancung yang dinaiki bersama bapa saudara dan rakannya terbalik selepas tersangkut pada tali sebuah feri di Sungai Kelantan dekat Pangkalan Haji Mustapa, Kampung Paloh Rawa di sini tengah malam tadi.

Muhamad Hisyamuddin Che Zulkifly, 23, tidak dapat dikesan selepas bot yang dikemudinya tenggelam manakala bapa saudaranya, Mohd. Subry Che Ahmad, 39 dan rakan, Muhamad Riduan Hatta, 23, sempat berenang ke tebing sungai untuk menyelamatkan diri.

Ibu mangsa, Rosliza Mat Yusoff, 46,  berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa Muhamad Hisyamuddin selepas dihubungi adik iparnya kira-kira pukul 12.35 tengah malam.

Menurutnya, dia dan suami, Che Zulkifly Che Ahmad, 49, yang sudah tidur ketika itu terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Anak saya tinggal di rumah keluarga bapanya di Kampung Paloh Rawa di sini kerana bekerja di kawasan itu. Kali terakhir saya menemui Muhamad Hisyamuddin pada Ahad lalu selepas dia pulang ke rumah dan tinggal selama tiga malam sempena cuti Tahun Baharu Cina.

“Luluh hati saya apabila tiba di tebing sungai malam tadi apabila penduduk memaklumkan bahawa Muhamad Hisyamuddin masih belum ditemui,” katanya ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Muhamad Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.32 tengah malam sebelum empat anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, anggota bomba memantau keadaan di lokasi kejadian yang gelap pada malam tadi dan operasi mencari mangsa diteruskan semula hari ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.