50% rakyat belum ambil dos penggalak Covid-19

50% rakyat belum ambil dos penggalak Covid-19

Gambar bertarikh 11 Februari 2022 memaparkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sebuah pasar raya di Kuantan, Pahang yang lengang kerana tiada sambutan daripada orang ramai bagi mendapatkan dos penggalak walaupun PPV tersebut telah beroperasi selama seminggu. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia ha­nya merekodkan sebanyak 16,280,153 penerima suntikan dos penggalak pertama Co­vid-19 ber­banding jumlah dua dos utama yang masing-masing mencatatkan lebih 27 juta orang.

Berdasarkan laman web, https://data.moh.gov.my sema­lam, dua dos utama yang dilaksanakan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melibatkan 28,120,894 orang bersamaan 86.1 peratus manakala dos kedua, 27,532,308 orang bersamaan 84.3 peratus.

Bagaimanapun rekod me­nunjukkan dos penggalak ke­dua pula mencatatkan jumlah terkecil iaitu 636,861 bersamaan dua peratus.

Selain itu, terdapat tujuh negeri yang mencatatkan jumlah dos penggalak pertama di bawah 50 peratus iaitu Kelantan (17.7 peratus); Sabah (24.5 peratus); Terengganu (28.2 peratus); Perlis (31.3 peratus); Kedah (34.3 peratus); Pahang (37.6 peratus) dan Perak (46.7 peratus).

Sementara dos penggalak kedua, semua negeri menca­tatkan hanya bawah 5.0 peratus sahaja dengan enam lokasi merekodkan bawah 1.0 peratus iaitu Kelantan, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jang­kitan semula Covid-19 adalah disebabkan keadaan immune escape yang lebih tinggi oleh varian XBB subvarian Omicron.

Katanya, varian XBB subva­rian Omicron mendominasi penularan Covid-19 di negara ini yang merangkumi 55.4 peratus daripada bilangan sampel yang menjalani penjujukan genom, sejak Jun sehingga Disember lalu.

“Ini menunjukkan XBB masih menjadi varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia sejak Oktober tahun lalu.

“Ia mungkin disebabkan oleh tahap antibodi yang mulai berkurangan dan menyebabkan jangkitan semula tidak dapat dielak,” katanya.

Noor Hisham berkata, individu yang belum menerima vaksin dinasihatkan agar se­gera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang tersayang.

“Pihak KKM akan terus memantau perkembangan keja­dian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi da­ripada pihak WHO.

“Semua langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN