Tunggu senjata akhir Jepun

Tunggu senjata akhir Jepun

Barisan pemain Jepun menjalani latihan ringan di Doha, semalam sebagai persiapan menentang Croatia dalam saingan kalah mati. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Pemain Jepun, Ritsu Doan percaya kekuatan barisan simpanan pasukannya mampu menjadi penentu kejayaan menentang finalis Piala Dunia 2018, Croatia dalam aksi 16 terakhir, hari ini.

Penyerang kelab Freiburg itu memainkan peranan penting se­bagai pemain gantian menjaringkan gol penyamaan ketika mengejutkan Jerman dan Sepanyol untuk Jepun mengungguli Kumpulan E.

Doan memerlukan masa empat minit menghasilkan jaringan selepas masuk ke padang dalam pertemuan dengan Jerman dan hanya dua minit sahaja selepas dimasukkan sebagai pemain gantian semasa menentang Sepanyol.

Dia percaya pilihan yang Jepun miliki di bangku simpanan mampu membantu mereka melangkah lebih jauh untuk ke suku akhir buat julung kali dalam sejarah.

“Ia 11 lawan 11 tetapi sebagai pemain, kami bercakap tentang kemampuan. Kami bermain dengan 26 lawan 11. Peraturan diubah untuk membenarkan lima pemain gantian dan saya fikir kami harus berterima kasih untuk itu.

“Kami mempunyai pemain yang mampu menukar perlawanan,” katanya.

Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu mendapat pujian atas perubahan taktikalnya di Qatar.

Tiga daripada empat gol Jepun di Piala Dunia edisi ini dijaringkan pemain yang bermula di bangku simpanan dan pemain gantian, Kaoru Mitoma memainkan pera­nan membentuk gol keempat.

Moriyasu menyamakan anak buahnya seperti pemain besbol kerana mereka semua mempunyai peranan sebagai pemula, pelepas dan penutup.

Doan berkata, dia telah mempelajari cara untuk menghasilkan kejutan dari bangku simpanan berdasarkan pengalamannya ber­main di kelab Jerman dan Belanda.

“Saya telah menjaringkan banyak gol selepas masuk sebagai pemain simpanan. Di PSV Eindhoven, saya mula bermain hanya sebagai pemain bawahan dan saya tahu bagaimana untuk bersedia jika diturunkan sebagai gantian.

“Sudah tentu, sebagai pemain saya tidak gembira berada di bangku simpanan tetapi seperti yang dikatakan pengurus, kami perlu bermain dengan kesemua 26 pemain dalam kejohanan ini,” katanya. – Agensi/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya