PETALING JAYA: Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak boleh menjadi penentu sekiranya keputusan undian usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seri 111-111 antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana Yang Dipertua tidak boleh terlibat dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan di bawah Perkara 43, 43A, 43B, 50 hingga 52, dan 54.
Sehubungan itu, katanya, Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak boleh membuang undi walaupun beliau dianggap sebagai ahli dewan.
Malah, katanya, perkara itu tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum ini bagi mengelakkan kontroversi, maka ia dianggap satu konvensyen.
“Sekiranya dalam sidang Dewan Rakyat (semasa usul undi percaya), keputusan 111 sama rata (antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, Speaker (Yang Dipertua) tidak boleh mengundi kerana ada peruntukan dalam Perlembagaan.
“Jadi, memang sukar untuk dikatakan apa solusi sebenar, tetapi dengan sendirinya Parlimen tergantung berlaku. Perkara ini belum pernah berlaku, tetapi kemungkinan itu ada sekiranya berlaku pengundian.
“Namun, dalam keadaan sedemikian, saya berpendirian kerajaan tidak akan jatuh dan boleh berbincang lagi. Itu sebab ada memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang semasa (pentadbiran) Datuk Seri Ismail Sabri, sebagai cara mengatasi perkara-perkara (tidak diingini) sebegini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Media sebelum ini melaporkan, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 akan berlangsung selama dua hari bermula 19 Disember dengan antara agenda utama ialah pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan usul undi percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr. Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen, pemilihan dan angkat sumpah Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah antara aturan urusan persidangan itu di peringkat permulaan. – UTUSAN










