Wakil rakyat berkualiti jadi pilihan

Wakil rakyat berkualiti jadi pilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
PARLIMEN Titiwangsa menjadi ‘kerusi panas’ menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mewakili (Barisan Nasional), Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad (Pakatan Harapan), Dr. Rosni Adam (Perikatan Nasional) dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Pejuang).
Wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR mendapatkan pandangan dua daripada empat calon tersebut yang dianggap nama besar bertanding di kerusi itu.
Johari menjelaskan, pengundi Titiwangsa sudah serik dan kali ini menginginkan wakil rakyat lebih berkualiti. Bagi Khalid pula, pemilihan wakil rakyat yang betul di Titiwangsa amat penting bagi menentukan siapa calon Perdana Menteri ke-10.

____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

UTUSAN: Undi Datuk Seri Johari, BN menang, bermakna Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jadi Perdana Menteri, komen?
Johari: Sama ada wakil rakyat jadi kerajaan atau pembangkang, itu nombor dua. Kita nak cari kualiti ahli Parlimen iaitu bila dipilih, dia jadi wakil rakyat terbaik dalam kawasan. Soal siapa nak jadi Perdana Menteri ditentukan selepas 19 November ini. Cara Khalid bercakap ini seolah-olah BN dah menang. Sebab itu dia takut.
Apakah Lim Guan Eng ini tiada kes? Sedangkan Datuk Seri Zahid, satu kes pun belum didapati bersalah. Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri, apabila didapati bersalah, kita tak pernah pergi ke jalanan untuk pertahankannya. Belum lagi dalam sejarah BN ni defend pemimpin dia yang bersalah. Tetapi kalau belum didapati bersalah, tak boleh lah, tak adil. Ini sistem demokrasi apa? Double standard.

Adakah naratif itu pengaruhi persepsi pengundi?
Sekarang ini adalah proses memilih wakil rakyat sebab mereka sudah serik dengan wakil rakyat PRU14 ini, tidak buat kerja, tidak laksanakan tugas yang sepatutnya. Rasa macam mereka tertipu. Kalau Khalid datang ke kawasan Titiwangsa ini, nak bercerita soal bukan memilih wakil rakyat, jadi janganlah datang di sini. Dia kena pergi ke tempat lain. Dia boleh cerita tentang benda itu, tetapi di sini orang nak bercerita tentang wakil rakyat.

Khalid ada rekod yang baik, tiga kali menang di Parlimen Shah Alam. Komen?
Rekod yang baik? Rekod apa? Sebab dia 22 bulan jadi Menteri Wilayah, dia membenarkan penduduk-penduduk Sungai Baru 89 peratus buat perjanjian yang berat sebelah dengan pemaju, apa dia buat? Dia senyap, tak pernah cerita tentang perkara ini. Padahal pemaju itu buat surat meyakinkan penduduk Su­ngai Baru pindah balik dalam masa 4 tahun, tetapi hari ini sudah 4 tahun 6 bulan, apa pun tidak ada. Tidak mengapa, benda dah lepas, jadi kita sebagai pemimpin, kita akan selesaikan perkara itu.

Khalid menyifatkan Datuk Seri sebagai ketua badan kebajikan, menang kerja tetap jalan, kalah, kerja pun tetap jalan. Komen?
Memang betul saya ada pengalaman mentadbir atau mempunyai pengalaman dari segi keperluan bagaimana negara untuk mendapat orang yang faham dari segi ekonomi. Jadi, aset ini agak kurang dalam negara kita. Jadi, kalau boleh guna pakai pengalaman saya di peringkat nasional, wakil rakyat kemudian menyumbang di peringkat parlimen, kan lebih baik? Kawasan kita jaga, dalam masa yang sama peringkat nasional pun kita jaga. Jadi, saya ucapkan terima kasih kepada Khalid kerana akhir­nya dia sendiri mengaku saya orang yang suka bekerja untuk rakyat.

Pengundi Titiwangsa boleh terima ‘orang luar’ jadi calon?
Sama ada mereka boleh terima atau tidak, sebenarnya mereka dah serik kepada janji yang dibuat oleh orang luar. Orang luar cerita tentang Sungai Baru, cerita tentang macam-macam tapi habuk pun tiada. Orang nak cari jalan penyelesaian, bukan janji untuk menyelesaikan. Apa penyelesaiannya untuk orang yang sudah pindah sehingga 89 peratus ini?
Benda dah berlaku, depan mata dia (Khalid) sewaktu jadi Menteri Wilayah. Waktu saya jadi wakil rakyat, tiada seorang pun yang pindah. Saya cakap, pastikan semua bersetuju, baru pindah.
Dan kalau saya jadi wakil rakyat, yang pertama duit mereka ini perlu dibayar sepenuhnya pada mereka yang digunakan akta pengambilan tanah. Yang kedua, yang dah pindah 89 peratus ini, pastikan bila boleh siap rumah tersebut supaya mereka boleh berpindah balik? Itu kita nak pantau.
Saya ada merit untuk buat benda yang lebih besar. Ada perkara yang saya boleh bawa suara rakyat ke dalam parlimen. Sekarang ini tiada suara rakyat dalam parlimen.

Utusan: Siapa saingan anda di Parlimen Titiwangsa?
Khalid Samad: Memang kita lihat Barisan Nasional (BN) adalah saingan yang utama, tetapi saya melihat beliau (Datuk Seri Johari Abdul Ghani) seorang yang berada di sini dan membina tapak melalui kerja-kerja kebajikan dan yayasan di bawah arenanya.
Saya yakin walaupun beliau kalah atau menang, kerja-kerja kebajikan itu tetap diteruskan. Maka kita menganggap persoalan lebih utama perlu difikirkan warga Titiwangsa adalah hala tuju negara, jadi inilah mesej yang kita akan sampaikan oleh seluruh jentera Pakatan Harapan.

Tidakkah anda merasakan pengundi lebih selesa dengan Datuk Seri Johari berbanding calon lain kerana kerja-kerja yang dilakukan sebelum ini?
Itu satu merit bagi dia, tetapi bila kita nak pilih sekali, kita bukan nak pilih ketua badan kebajikan, kalau kita nak pilih ketua badan kebajikan mungkin saya mengaku kalah. Kita nak pilih ahli parlimen, pilih ahli parlimen ini bantu akan menentukan siapa Perdana Menteri. Kalau orang buat kebajikan banyak mana sekalipun, kalau dia tetap sokong Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri, itu akan menjadi persoalan yang agak membimbangkan bagi negara kita.
Jadi warga Titiwangsa perlu lihat dalam konteks ini apa yang kita nak pilih. Kita nak pilih ahli parlimen, bukan ketua badan kebajikan.

Datuk Seri Rina Harun menang pada PRU14, tetapi penduduk Titiwangsa tidak berpuas hati dengan beliau. Namun, Datuk Seri Johari yang kalah pula teruskan khidmat. Adakah ini bermakna Johari akan dapat kredit dalam PRU15?
Ya, Pakatan Harapan (PH) memang terpaksa meminta maaf kepada mereka yang mengundi Rina, tetapi itu telah berlakunya pengkhianatan dan dia telah meninggalkan kawasan.
Orang tahu dia tidak bersama dengan PH sekarang dan dia adalah sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN).
Oleh kerana itu, pimpinan (PH) me­nganggap bagus untuk meletakkan saya di sini kerana tidak ada orang pertikaikan yang mana saya takkan lompat dan takkan tinggalkan kawasan se­perti mana saya duduk di Shah Alam sehingga tiga penggal. Saya tidak lari dan kalau diberi amanah menjadi ahli Parlimen Titiwangsa, saya akan berikan khidmat penuh.
Antara sebab kenapa saya ditugaskan di Parlimen Titiwangsa ini adalah untuk menanamkan keyakinan kepada pe­ngundi bahawa saya tidak macam Rina.
Dia pun dalam PN sekarang, itu Dr. Rosni Adam kena jawab kenapa ahli parlimennya yang sekarang ini ahli parti PN telah berkhidmat sedemikian rupa dan apa jaminan beliau tidak buat begitu juga.

Adakah ini bermakna PH hanya meletakkan calon tangkap muat sebab tidak mengukur kemampuan individu sebelum diletakkan menjadi calon dan akhirnya rakyat jadi mangsa?
PH mengambil kita itulah sebab saya ditugaskan di sini kerana saya harap dengan imej saya, pengundi akan berasa yakin. Kalau saya seperti Rina, saya tidak boleh menang di Shah Alam sehingga tiga penggal. Maknanya, jentera saya begitu berkesan dan baik serta puas hati sehingga dapat menang tiga kali.

Adakah kredit anda sebagai bekas Menteri Wilayah mampu mempe­ngaruhi undi di Parlimen Titiwangsa?
Terpulang kepada penilaian pe­ngundi Titiwangsa tentang apa yang saya telah usahakan semasa saya menteri, contohnya isu cadangan pembangunan Kampung Baru, isu menjadikan Yayasan Wilayah Persekutuan sebagai badan kebajikan sepenuhnya dan bukan badan sibuk berniaga.
Jadi perkara-perkara ini, mereka kena nilai dan lebih penting peranan saya dalam parlimen bersuara dalam mewujudkan pentadbiran rasuah dan bersih penyelewengan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×