CYBERJAYA: Sesiapa sahaja yang menjadi ahli Parlimen boleh bercita-cita menjadi perdana menteri dan manaruh impian seperti itu bukan satu kesalahan kata alon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin.
Kata beliau, kenyataan lawannya dari Pakatan Harapan (PH) di Sungai Buloh, Datuk P Ramanan kononnya beliau ‘gila kuasa’ kerana mahu menjadi perdana menteri hanya pendapat peribadi.
Dalam nada sindiran Khairy berkata, semua ahli politik memang ada impian mahu jawatan tersebut.
“Tidak salah untuk sesiapa yang jadi ahli Parlimen mempunyai cita-cita itu. Semua orang pun boleh sahaja ada impian (jadi Perdana Menteri),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini selepas melancarkan operasi rasmi Hospital Cyberjaya dan turut dihadiri Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman.
Kemudahan yang bernilai RM508 juta di kawasan seluas lebih lima hektar itu memiliki kapasiti 288 katil dengan memberi manfaat kepada kira-kira 282,000 penduduk di sekitar Daerah Sepang.
Kelmarin, Ramanan dalam sidang akhbar mendakwa tindakan Khairy mengumumkan hasrat menjadi perdana menteri sebagai gila kuasa, jawatan, glamor dan sesat jalan selepas Khairy yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu menyasarkan cita-cita tersebut ketika berucap semasa berkempen dalam sesi Ceramah Kata Janji KJ di Saujana Utama pada Selasa lepas.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, bayangan diberikan itu membuktikan bahawa UMNO dan BN sebenarnya tidak ketandusan pemimpin pelapis yang boleh menerajui Kerajaan Persekutuan.
“Salahkah cita-cita pada hal saya cuma beri bayangan itu sekali gus dapat berkhidmat kepada rakyat. Jka diberikan peluang untuk mengemudi negara kemudian, itu sahaja,” jelasnya sekali gus menyangkal tohmahan Ramanan kononnya impian itu sebagai sibuk berpolitik setiap masa sedangkan tiada masalah pun untuk ‘jaga’ kawasan dan ada cita-cita.
Bahkan, beliau merujuk semua penyandang jawatan tersebut yang sebenarnya boleh bekerja secara serentak untuk kedua-dua perkara dan bukan perkara baharu di mana-mana negara.
Dalam nada perli, Khairy berkata, untuk seseorang wakil rakyat menjadi Perdana Menteri di peringkat nasional, individu itu juga mestilah kena rajin berkhidmat menjaga kawasan sendiri dengan memberikan contoh sepanjang tiga penggal menjadi Ahli Parlimen Rembau dan dilantik sebagai menteri untuk pelbagai portfolio, dirinya tetap sibuk membela rakyat di kawasannya.
Kerusi Sungai Buloh menyaksikan pertandingan tujuh penjuru termasuk Mohd. Ghazali Md. Hamin dari Perikatan Nasional dan Mohd. Akmal Mohd. Yusof dari Parti Pejuang Tanah Air. – UTUSAN










