Tekad penuhi hasrat rakyat Jelebu - Utusan Malaysia

Tekad penuhi hasrat rakyat Jelebu

JALALUDDIN Alias (kiri) beramah mesra dengan Syed Abdul Basit Syed Mohamad dan Sharifah Nurul Hayati Syed Yusainee pada majlis perkahwinan pasangan itu di Kuala Klawang dekat Jelebu.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Barisan Nasional (BN) tekad memenuhi harapan rakyat termasuk di Jelebu yang mahukan sebuah kerajaan mengutamakan kesejahteraan, kestabilan dan kemakmuran.

Calon BN kerusi Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, hasrat rakyat itu disampaikan kepada BN dalam setiap pertemuan apabila kerajaan yang dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) gagal memenuhi harapan itu.

Beliau yang cuba mempertahankan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini berkata, kegagalan itu benar-benar menghampakan rakyat yang berpaling kepada BN untuk mengadu nasib.

“Rasa hampa ini bukan saja disuarakan oleh orang Melayu malah semua kaum termasuk Cina, India dan Orang Asli.

“Kekecewaan ini telah menguatkan semangat dan membulatkan tekad kepada BN untuk mendirikan kerajaan yang berusaha memberi kesejahteraan, kestabilan dan kemakmuran kepada setiap lapisan rakyat,” katanya ketika ditemui pada majlis perkahwinan di Taman Cengal di Kuala Klawang dekat sini.

Beliau sempat memenuhi undangan perkahwinan pasangan Syed Abdul Basit Syed Mohamad dan Sharifah Nurul Hayati Syed Yusainee di tengah-tengah kesibukan kempen PRU15 yang baru bermula.

Jalaluddin berkata, harapan rakyat itu telah membangkitkan semangat jentera pilihan raya BN Jelebu untuk bekerja mempertahankan kemenangan kerusi berkenaan.

“Semangat yang ditunjukkan mereka adalah luar biasa dan berdasarkan itu saya yakin kami dapat mencapai kemenangan sekali lagi,” ujarnya.

Namun, beliau cepat mengingatkan jentera parti supaya tidak mengambil mudah dan memandangkan rendah kemampuan parti pesaing.

“Gerak kerja mesti diperkemas dan dilipat gandakan. Jumpa seramai mungkin pengundi di serata pelusuk,” katanya.

Pada PRU15 ini, Jalaluddin akan berhadapan saingan empat penjuru masing-masing daripada Parti Pejuang Tanahair, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional.

Pada PRU14, Jalaluddin memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti 2,045 undi. Kawasan Parlimen Jelebu kini mempunyai 59,561 pengundi berdaftar berbanding 38,522 pemilih pada PRU14.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya