Sukar buktikan belanja kempen calon lebihi had - Utusan Malaysia

Sukar buktikan belanja kempen calon lebihi had

Papan tanda gergasi memaparkan gambar calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Usaha mana-mana pihak mahu mengambil tindakan memfailkan petisyen bagi membuktikan perbelanjaan kempen seseorang calon itu melebihi had maksimum seperti ditetapkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sukar untuk dibuktikan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, ini kerana akta berkenaan tidak memperincikan perkara itu iaitu tidak ada pemisahan jelas antara perbelanjaan yang dibuat calon dengan perbelanjaan oleh parti politik yang diwakilinya.

Oleh itu, menurut beliau, tindakan untuk memfailkan petisyen bagi meminta mahkamah membatalkan keputusan pengundian atas kesalahan di bawah akta berkenaan adalah rumit selagi Malaysia belum mewujudkan Akta Pendanaan Politik atau Akta Pembiayaan Kempen Pilihan Raya.

“Hakikatnya, AKP 1954 jelas hanya merujuk kepada perbelanjaan yang dibuat oleh calon, tetapi tidak merujuk kepada perbelanjaan kempen yang dibiayai parti.

“Oleh itu, sejak dahulu setiap kali pilihan raya, perbelanjaan kempen (oleh calon dan parti) rata-rata menunjukkan jumlah perbelanjaan bahan kempen yang jauh melebihi had maksimum seperti ditetapkan di bawah undang-undang tersebut,” katanya.

Wan Ahmad berkata, di bawah AKP 1954, Seksyen 19(1)(a) dan (b) menetapkan had maksimum yang boleh dibelanjakan calon untuk perbelanjaan kempen pilihan raya.

Bagi calon ahli parlimen berjumlah RM200,000 manakala calon ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) RM100,000.

BUKTI

Wan Ahmad berkata, dalam perbicaraan kes petisyen pilihan raya, jika Hakim Pilihan Raya berpuas hati dengan bukti kukuh dan mencukupi, mahkamah akan membuat keputusan dan mengeluarkan hukuman sewajarnya.

Jelasnya, jika petisyen diterima (berjaya), mahkamah akan memaklumkan secara rasmi kepada SPR dalam tempoh empat belas hari keputusannya dan jika disabitkan bersalah boleh dikenakan hukuman penjara melebihi satu tahun atau denda melebihi RM2,000.

“Melalui peruntukan seksyen 31(1) AKP 1954, ia menetapkan bahawa pemilihan sesaorang calon adalah terbatal oleh sebab sabitannya atas apa-apa perbuatan rasuah atau perbuatan yang menyalahi undang-undang dalam pilihan raya itu,” katanya.

Bagi perjalanan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya, SPR menubuhkan sebanyak 625 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti calon-calon yang bertanding ketika berkempen.

Calon-calon yang membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, adalah juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan.

Ia bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya.- UTUSAN

 

INFO  Harga iklan (tempoh sebulan tayangan)

HD LED billboard saiz besar (kawasan bandar) – RM18,000 – RM70,000

HD LED billboard lain-lain saiz sederhana – RM15,000

HD LED billboard saiz kecil tepi tiang lampu – RM3,000

Billboard biasa bukan digital (statik) – RM15,000 – RM70,000

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×