Sanusi fitnah saya - Calon BN Alor Setar - Utusan Malaysia

Sanusi fitnah saya – Calon BN Alor Setar

TAN CHEE HIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Setar, Tan Chee Hiong mendakwa dirinya difitnah dan diaibkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam satu ceramah, baru-baru ini. 

Naib Ketua Pemuda MCA itu berkata, segala cerita yang keluar daripada mulut Muhammad Sanusi kononnya beliau menghabiskan duit bapa sebanyak RM2 juta hingga perniagaan kedai perkakasan keluarganya bankrap langsung tidak benar. 

Chee Hiong berkata, bapanya merupakan orang kampung yang dikenali semua penduduk setempat dan diketahui umum telah bersara kerana sudah tiga kali menjalani pembedahan kaki dan tulang belakang. 

“Semua orang tahu sekarang ini bapa hendak berjalan pun susah dan hanya dalam keadaan itu barulah dia setuju bersara daripada dunia perniagaan. 

“Saya pula memiliki perniagaan sendiri yang sudah berjaya dan diusahakan hasil tunjuk ajar serta didikan bapa. Saya mahu bapa berbangga kerana saya sendiri boleh berjaya dalam perniagaan. 

“Tetapi Menteri Besar secara melulu menyatakan saya tidak layak dipilih sebagai Ahli Parlimen kerana merosakkan perniagaan bapa. Saya terkejut kerana seorang pemimpin sebuah parti Islam telah mengaibkan diri saya sebagai punca kedai milik bapa bankrap,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Dalam ceramah di Kampung Gading, di sini Sabtu lalu, Muhammad Sanusi mendakwa perniagaan bapa Chee Hiong yang dikenali sebagai Ah Hua di Kampung Begia, Sik telah bankrap. 

Menurutnya, Chee Hiong telah menghabiskan duit bapanya termasuk menggunakan sebanyak RM2 juta bagi menjalankan pelbagai perniagaan, termasuk membeli kelapa dari Indonesia. 

Justeru Muhammad Sanusi mengingatkan pengundi di Alor Setar supaya tidak mengundi calon MCA tersebut, agar tidak menerima nasib seperti Ah Hua apatah lagi pengundi bukan terdiri daripada adik beradik Chee Hiong untuk diambil peduli. 

Mengulas lanjut Chee Hiong berkata, tuduhan Muhammad Sanusi amat kasar, jahat serta tidak bermoral dengan beliau sepatutnya berkempen secara budiman.

Malah beliau turut mempersoalkan adakah tindakan Muhammad Sanusi itu selari dengan politik matang dan sejahtera yang selama ini digembar-gemburkan Pas.  

“Seharusnya semua parti dan calon berkempen secara matang serta beradab selain bercerita mengenai visi dan misi masing-masing tentang bagaimana mahu memajukan Alor Setar. 

“Pesanan ikhlas saya kepada Menteri Besar tolong jangan fitnah saya dan keluarga lagi kerana perkara itu tidak selari dengan ajaran agama. Jangan rosakkan keharmonian hubungan sesama kita dan jangan kerana mengejar populariti, kita bercakap tidak benar dengan mengaibkan orang lain,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya