JEMPOL: Walaupun menjadi calon paling berusia di Parlimen Jempol pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Timbalan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Tan Sri Mohd. Khalid Yunus yakin mampu memberi saingan sengit pada parti lawan.
Mohd. Khalid yang kini berusia 79 tahun dan pernah menjadi Ahli Parlimen Jempol selama empat penggal dari 1986 hingga 2004 berkata, usia bukan penghalang untuk beliau memberikan khidmat bakti kepada masyarakat di kawasan itu.
“Kalau ikutkan saya tidak berminat untuk terjun semula ke gelanggang politik, namun saya kecewa dengan pelbagai kemelut yang melanda politik kita sehingga kerajaan Malaysia dikatakan lemah.
“Itu sebabnya bila Tun Dr. Mahathir mencadangkan saya mengasaskan atau menubuhkan satu Gerakan Tanah Air (GTA) dan saya yang berada dalam Putra bersetuju bersama-sama gerakan itu yang disertai empat buah parti Melayu,” katanya.
Berkenaan keputusannya bertanding di Parlimen Jempol pula, beliau berkata, sejak bersara tidak nampak banyak perubahan terutama membabitkan orang muda.
Justeru itu, beliau berkata, akan memberi fokus memperjuangkan nasib golongan belia di Jempol yang dilihat masih jauh ke belakang.
“Manifesto dan perjuangan saya adalah untuk memberi fokus kepada anak muda sama ada tinggal di kampung atau tanah rancangan Felda terutama dalam bidang pendidikan dan kemahiran.
“Lagipun, saya pernah tubuhkan lima buah Wisma Belia di kawasan Jempol, tetapi amat mengecewakan kemudahan itu kini terabai selepas saya tidak lagi menjadi wakil rakyat,” katanya.
Mohd. Khalid pernah menjadi Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, selain Timbalan Menteri Pelajaran, Timbalan Menteri Penerangan serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan.
Difahamkan, setakat ini kerusi Parlimen Jempol akan berdepan pertandingan empat penjuru.
Pada PRU14 kerusi itu dimenangi Barisan Nasional (BN) yang diwakili Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif dengan majoriti 1,631 undi selepas memperoleh 26,819 undi menewaskan calon PKR, Kamarulzaman Kamdias (25,188 undi) dan calon Pas, Mustaffa Daharun (5,267 undi). -UTUSAN










