MUKADIMAH
BIARPUN Barisan Nasional (BN) hanya memenangi sembilan daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN ) Perak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), parti itu mengetuai kerajaan menerusi jajaran baharu bersama Pakatan Harapan (PH).
Malah, Perak negeri pertama yang Menteri Besarnya mengangkat sumpah di sebalik kemelut pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri Ke-10.
Berikutan itu, pelbagai kenyataan, persoalan dan kritikan dilontarkan sejurus pelantikan dibuat pada Isnin lalu.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan SAYED HESHAM IDRIS menemu ramah Menteri Besar Perak, DATUK SERI SAARANI MOHAMAD bagi mendapatkan penjelasan beliau. Turut membantu jurufoto FARIZ RUSADIO.
KALAH TAPI JADI MB
MINGGUAN MALAYSIA: Masih ada pertikaian di sebalik kewajaran pelantikan Datuk Seri sebagai Menteri Besar Perak walaupun kalah masih mengetuai kerajaan. Apa komen Datuk Seri?
SAARANI: Saya mengikuti dan membaca banyak komen di media sosial serta kenal pasti mereka yang mengeluarkan komen negatif mempertikaikan pelantikan saya sebahagian besarnya ialah orang Melayu dan Islam termasuk rakan daripada Pas.
Orang Melayu dan Islam beriman kepada Allah SWT di samping kitab suci al-Quran. Saya ingin ingatkan kepada diri saya dan kepada semua orang bahawa dalam ayat al-Quran itu ada menyebut Wamakaru Wamakarallah Wallhu Khairul Makirin yang bermaksud “Mereka merancang, Allah juga merancang, sesungguhnya Allah SWT sebaik-baik perancang.”
Apa pun alasan dan tindakan serta usaha kita dalam tempoh bertahun-tahun itu adalah Wamakaru, tetapi akhirnya dengan perancangan Allah SWT, kita dapat tahu jawapannya pada 19 haribulan (PRU-15) tempoh hari.
Ini bermakna orang beriman yang beramal yakin terhadap al-Quran dan kuasa Allah SWT. Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Dia adalah sebaik-baik perancang. Jadi apa yang saya buat ini mestilah dengan izin Allah SWT dan ikut perancangan-Nya.
Kedua, ayat dalam al-Quran surah Al-Imran ayat 26 ada diajar dan selalu disebut ustaz termasuk daripada Pas iaitu: Katakanlah (Muhammad), “Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari siapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa pun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sungguh, Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
Ayat ini cukup jelas. Orang Pas pun usaha, orang BN pun usaha, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) usaha dan PKR pun usaha demi mendapatkan kuasa bagi menjadi pemerintah. Tapi akhirnya Allah SWT menentukan. Maka saya harap semua masyarakat terutama beragama Islam berpegang pada ayat ini agar tenang kerana segala-gala ketentuan-NYA.Ayat ini memudahkan saya untuk memberitahu kepada sesiapa yang bertanya dan berharap tiada pertikaian lagi.
DIKECAM TERUK
Pelbagai kecaman dilontarkan terhadap Datuk Seri termasuk digelar pengkhianat sebelum ini selepas membentuk jajaran baharu bersama Pakatan Harapan (PH) bagi menubuhkan kerajaan negeri. Adakah Datuk Seri terkesan?
Saya sudah lama dalam politik. Enam penggal menjadi Wakil Rakyat. Saya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kemudian menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Ketua Pembangkang dan sekarang Menteri Besar. Tentang tuduhan, kecaman dan makian,ia sudah lali kepada saya.
Saya percaya saya tidak akan mendapat 100 peratus sokongan walau apa pun saya buat. Orang yang tidak suka saya akan sentiasa mencari jalan perlekeh tindakan saya.
Sebenarnya paling penting bagi saya apabila dapat membuat keputusan betul dan tepat. Itulah keyakinan pada saya. Jadi hendak kata saya pengkhianat? Saya bukan masuk DAP, PH, PKR. Saya dipelawa membentuk Kerajaan Negeri Perak walaupun saya bersiap sedia hendak jadi pembangkang.
Tapi kerana PH ada 24 kerusi dan 26 (kerusi) pada PN menjadikan semuanya adalah 50. Dengan 50 kerusi mereka sepatutnya boleh menjadi kerajaan yang kuat kerana mendapat lebih dua pertiga serta tinggalkan saya untuk jadi pembangkang.
Bagaimanapun, oleh kerana kedua-duanya tidak boleh membentuk kerajaan, saya tidak boleh biarkan Perak berada dalam keadaan teruk sekali dengan rakyat terumbang-ambing. Lalu, saya terus membuat keputusan mengambil peranan untuk bersama-sama PH tubuh kerajaan.
Tiada istilah saya khianat, subahat atau bersekongkol dengan PH dan DAP. Malah saya tidak bersubahat atau menjadi boneka. Itu tidak benar sama sekali.
Rekod kerjasama antara Menteri Besar terdahulu dengan DAP kurang baik dalam Kerajaan Negeri Perak. Adakah ia cabaran bagi Datuk Seri nanti?
Baru-baru ini saya mulakan mesyuarat Exco dan beri ucapan kepada mereka bahawa kita diberi amanah untuk tubuhkan kerajaan serta menjalankan pentadbiran untuk pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat. Itu sahaja.
Walaupun kita berbeza parti dan ideologi politik, ia bukan bermakna kita tidak boleh bersama-sama untuk berkompromi. Paling penting kurangkan perbezaan dan cari titik pertemuan. Kita semua sama tujuannya iaitu demi membangunkan kerajaan negeri.
Perlu diingat, untuk membangunkan negeri kita tidak boleh dendam, berprasangka buruk dan tidak boleh ada perbezaan besar. Titik pertemuan perlu dicari supaya fokus kita tertumpu kepada usaha membangunkan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Setakat ini, saya nampak mereka semua faham aspirasi itu dan akhirnya saya beri setiap Exco bercakap serta nyatakan pandangan. Mereka sokong saya dan bersetuju supaya semua bersatu hati.
Selain itu, Exco juga bersetuju untuk gunakan perkataan Kerajaan Negeri Perak dan bukannya istilah kerajaan PH plus BN atau sebaliknya. Saya yakin kita boleh berbeza pendapat. Akan tetapi dalam hal-hal membabitkan pembangunan negeri untuk kesejahteraan rakyat, fokus harus diberikan.
Sekiranya kita mula cari perbezaan dan kesalahan, maka tidak tercapai hasrat untuk bangunkan negeri. Jadi saya tak nampak ia sesuatu merunsingkan walaupun ada sejarah DAP dengan pelbagai parti. Saya yakin asas dan prinsip sama boleh diguna pakai untuk Perak.
PRESTASI BURUK BN
Sebelum ini Datuk Seri ada menyatakan keyakinan BN menang lebih 30 kerusi dan perkara sebaliknya berlaku apabila hanya memperoleh sembilan kerusi. Prestasi buruk turut melibatkan peringkat nasional. Jadi siapa patut dipersalahkan?
Saya dari awal lagi tidak setuju jika sama ada kepimpinan parti menuding jari kepada Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Ia sangat tidak adil. Kalau mahu mencari kesalahan perlu diletakkan kepada semua orang.
Ini termasuk kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Ketua Bahagian sebab kita bersama-sama berdepan PRU15. Ia merupakan kegagalan kita bersama. Bukan hanya kegagalan Ahmad Zahid atau Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri. Semua harus bertanggungjawab tanpa tuding jari pada orang lain.
Apabila kalah muhasabahlah dan cari punca kekalahan. Adakah sebab kita? Saya selalu sebut kalau tuding jari pada Ahmad Zahid, ada tiga jari lagi tuding pada kita. Jadi tiada jawapan siapa patut dipersalahkan.
Jadi tidak wajar ada desakan agar Ahmad Zahid meletak jawatan termasuk sekiranya beliau sendiri berbuat demikian?
Tidak boleh dipersalahkan kepada Ahmad Zahid sahaja dan tidak wajar beliau meletak jawatan terutama dalam suasana sekarang.
Beliau perlu teruskan (memimpin parti). Jawatan itu (Presiden), kalau ada orang yang mahukan, perlu tunggulah Pemilihan UMNO nanti.
UMNO SUDAH TAK RELEVAN?
Tidakkah kekalahan UMNO ini petanda bahawa parti ini tidak lagi jadi sandaran orang Melayu pada masa akan datang?
Saya tidak fikir begitu sebab politik dinamik dan pengundi pun dinamik. Ia bukan bermakna UMNO tidak relevan. Kita masih lagi relevan dan banyak tempat lagi kita masih menang. Parti (perjuangan) masih boleh teruskan lagi.
Cuma kita berharap pucuk pimpinan parti semua peringkat buat post mortem, kaji apakah punca di sebalik kegagalan kita menarik minat pengundi khususnya orang muda.
Saluran pengundi muda kita kalah teruk. Mungkin sebab kita gagal tarik minat mereka.
Namun perlu diingat pengundi dinamik dan mereka berfikiran terbuka. Kalau kita dapat perbetulkan keadaan, ada iltizam dan memahami kehendak pengundi muda, Insya-Allah mereka boleh beri sokongan kepada kita.
Mereka juga manusia dan boleh mengubah pendirian untuk memberi sokongan pada UMNO dan BN. Paling penting jangan putus asa atau tidak menjadikan ia sebagai tanda kita akan pupus.
UMNO sudah semestinya perlukan pembaharuan. Jadi siapakah yang wajar memimpin parti pada masa ini?
Terpulang kepada ahli UMNO untuk membuat pemilihan kerana ia turut melibatkan peringkat akar umbi. Semua orang boleh membuat penilaian kerana manusia ada kelebihan dan kekurangan. Terpulang pada akar umbi UMNO menentukannya.
Kita akan buat pemilihan jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan jawatan lain berasaskan kepada undi yang akan dibuat perwakilan UMNO Bahagian yang perwakilannya terdiri daripada wakil cawangan-cawangan.
KEBIMBANGAN ORANG MELAYU
Ada suara kebimbangan orang Melayu apabila DAP berada dalam Kerajaan Negeri Perak terutama berkaitan agama, kaum dan hak pemilikan tanah. Adakah ada jaminan Datuk Seri terhadap kebimbangan tersebut?
Dalam perjumpaan saya bersama Pengerusi DAP Negeri, Nga Kor Ming, saya sebutkan dengan jelas bahawa sebelum ini antara perkara yang jadi penghalang kepada penubuhan kerajaan bersama antara UMNO dan DAP adalah faktor tadi (agama, kaum dan isu pemilikan tanah).
Dulu DAP lantang usik Perlembagaan Persekutuan sehingga orang Melayu melihat ia sesuatu yang taboo dan mereka akan sentiasa melihat perkara berkenaan.
Jadi saya cakap kepada Kor Ming. Kalau kita mahu Kerajaan Negeri Perak dibangunkan bersama UMNO dan PH di mana DAP ada, perkara ini hendaklah dikeluarkan.
Jika tidak ia menjadi duri dalam daging dan ini menjadi salah satu faktor yang kita sentiasa syak wasangka antara satu sama lain.
Dan saya dimaklumkan diperingkat Pusat, perbincangan dan persetujuan juga telah diambil antara PH dan BN.
Mana-mana perkara yang selama ini menjadi ketakutan orang Melayu hendaklah dikeluarkan daripada sebarang tuntutan dalam perjanjian.
Tiada lagi isu menyentuh agama, kaum atau pemilikan tanah. Kalau tidak ia akan menghantui orang Melayu yang takut peristiwa tersebut.
Saya turut ingatkan kepada rakan-rakan dalam PH khususnya DAP, kita perlu jaga sentimen itu. Dalam ucapan saya sebelum ini pun saya ada tekankan, sama ada Melayu, India atau Cina, kita perlu sentiasa elakkan diri daripada keluarkan perkataan yang boleh guriskan perasaan masing-masing.
Di samping itu, saya juga ada sebutkan urusan pentadbiran, kita akan ikut Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan perkara berkaitan Kanun Tanah Negara. Jadi hak istimewa kekal dan termaktub serta menjadi perkara yang selama ini penentu keharmonian.
Adakah Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dirangka sebelum ini akan diteruskan?
Insya Allah. Saya sudah sebutkan bahawa kita sudah ada Pelan Perak Sejahtera 2030. Pelan ini kita bangunkan hasil kajian daripada akar umbi. Ia bukan pelan politik, Ia pelan kerajaan negeri yang sebelum saya lancarkan, saya buat sesi libat urus lebih 120 kali melibatkan pelbagai pihak.
Kita juga libatkan sesi libat urus termasuk ADUN kerajaan dan pembangkang. Setelah semua bersetuju maka kita buatkan pelancaran pada 15 Jun lalu. Jadi, baru-baru ini saya sudah sudah beritahu kerajaaan negeri kita tiada masalah (teruskan) kerana ia pelan pembagunan negeri membabitkan pembangunan pasca Covid-19.
Jadi tiada tentangan kerana pelan fleksibel. Asalkan ia boleh dikaji dan disesuaikan semula demi memakmurkan negeri dan kesejahteraan.
Bagaimana dengan cadangan bagi pembinaan lapangan terbang baharu. Adakah ia akan diteruskan?
Sebenarnya keperluan untuk membuat lapangan terbang baharu ini bukan berasaskan siapa jadi kerajaan.
Ia satu keperluan kerana sekarang kita ada penerbangan terus dari Singapura, Subang, Senai dan Langkawi. Kita dapati landasan tidak cukup.
Apabila saya sebut dalam Pelan Perak Sejahtera kita mahu wujudkan lebih banyak industri dengan membina banyak kilang dan peluang pekerjaan, kita perlukan fasiliti antarabangsa bagi membawa keluar produk hasil Perak.
Walaupun kita dalam masa sama sedang menambah baik Pelabuhan Lumut, seandainya ada lapangan terbang antarabangsa, ia jauh lebih baik kerana pelabur yakin disebabkan kemudahan yang ada.
Oleh itu, itu tidak kira siapa pun kerajaan, sebenarnya keperluan membina lapangan terbang antarabngsa itu ada.
Jadi kerana itu kita kena lihat semula sebab sebelum kekalahan BN pada 2018, peruntukan itu sudah ada dan tanah pun sudah ada di Seri Iskandar sebelum ia dibatalkan.
Maka saya lihat apabila ada keperluan, kita akan usahakan. Cuma tempat perlu dikaji semula sebab tanah asal sudah tiada. Seandainya ada tempat sesuai dan Kementerian Kewangan mahu bantu kita akan usaha sebaik mungkin.
Cuma berapa tahun jangkaan ia dapat disiapkan saya tidak boleh buat keputusan. Tapi tidak kira berapa tahun pun, ia perlu dimulakan sekarang sebab lagi lambat harga mungkin akan tinggi.
ANWAR IBRAHIM SEBAGAI PM
Komen Datuk Seri berkenaan pelantikan Perdana Menteri baharu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Anwar lama dalam politik dan pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri. Pengalaman dalam kementerian juga lama. Begitu juga dalam pembangkang dan sebagai ketua pembangkang.
Banyak hasrat hendak dilakukan kalau beliau menjadi Perdana Menteri sebelum ini. Saya harap beliau dapat tunaikan janji tersebut dan sebagai pemimpin, mesti dapat buktikan bahawa beliau adalah orang yang menunaikan janji.
Kita harap beliau tunaikan janji yang beliau katakan selama ini dan Kabinet boleh merangka pembangunan negara lima tahun akan datang. – MINGGUAN MALAYSIA










