Anwar ke Putrajaya tanpa Permatang Pauh - Utusan Malaysia

Anwar ke Putrajaya tanpa Permatang Pauh

Anwar Ibrahim mengimbas kad perakam waktu pada mesin elektronik pada hari pertama beliau memulakan tugas di pejabatnya di Perdana Putra. – IHSAN PMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM perjalanan pulang dari kampung di Kedah menuju ke ibu negara minggu lalu, saya sempat singgah makan mi udang di Sungai Dua. Dari situ memandu ikut jalan dalam menuju Penanti, Kubang Semang dan seterusnya keluar di Seberang Jaya.
Di beberapa persimpangan jalan, poster calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Nurul Izzah Anwar masih kemas tergantung. Seolah-olah menyapa setiap pengguna yang lalu-lalang di kawasan itu.
Selepas 40 tahun, mungkin hanya poster-poster Nurul Izzah itu sahaja legasi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih tinggal di Permatang Pauh ketika beliau melangkah masuk ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya bagi menerajui kepimpinan negara.
Dengan tewasnya Nurul Izzah kepada calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Fawwaz Mohamad Jan pada pilihan raya umum lalu, maka Anwar melangkah ke Putrajaya tanpa kerusi Parlimen Permatang Pauh. Kerusi yang cukup sinonim dengan dirinya dan pergelutannya dalam dunia politik pada 1982.
Sejak tarikh itu, Permatang Pauh adalah kubu kuat Anwar. Segala-galanya yang berkaitan dengan kerjaya politik Anwar berakar umbi dan berkisar sekitar di Permatang Pauh.
Sebab itu, walaupun dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO pada 1998, sokongan kepada Anwar oleh pengundi Permatang Pauh tetap utuh.
Berasal dari Kampung Cheruk Tok Kun, Permatang Pauh boleh diibaratkan ‘kawasan’ keluarga Anwar. Beliau bertanding buat kali pertama mewakili Barisan Nasional (BN) di Permatang Pauh pada 1982. Menewaskan calon Pas, Zabidi Ali dengan majoriti 14,352.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1986 Anwar menewaskan Mohamad Sabu dengan majoriti 10,479 undi dan pada 1990 mengalahkan Datuk Mahfuz Omar ( majoriti 16,150) dan 1995 menewaskan calon DAP, Abdul Rahman Manap dengan kelebihan 23,515 undi.
Kemenangan dengan majoriti yang besar ini menunjukkan betapa Anwar memang sukar digugat di Permatang Pauh. Setelah disingkirkan dari kerajaan dan parti serta dijatuhkan hukuman penjara pada April 1999, isterinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail meneruskan legasinya di Permatang Pauh.
Pada PRU 1999 yang kritikal ekoran tercetusnya gelombang reformasi, Wan Azizah menang dengan majoriti 9,077. Orang yang ditewaskan adalah bekas Setiausaha Politik Anwar sendiri itu Datuk Dr. Ibrahim Saad.
Ramai yang beranggapan Wan Azizah menang disebabkan undi simpati terhadap Anwar. Ahli-ahli UMNO sendiri mengaku mereka memberi sokongan kepada Wan Azizah kerana Anwar. Ia sebagai protes terhadap keputusan pucuk kepimpinan UMNO kerana memecat Anwar.
Ramai yang lupa bahawa, ketika dipecat, Anwar ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang dan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh. Oleh itu, sokongan padu rakyat pelbagai kaum kepadanya cukup kuat.
Wan Azizah mengekalkan kerusi Permatang Pauh pada 2004, namun majoritinya kecil iaitu hanya 590 undi. Lawannya pada 2004 adalah bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Pirdaus Ismail. Namun Wan Azizah bangkit dengan majoriti lebih besar pada 2008 iaitu 13,388 undi.
Keutuhan keluarga Anwar di Permatang Pauh sekali terbukti pada PRU 2008 apabila Wan Azizah sekali lagi menewaskan Pirdaus.
Bagi mengalu-alukan Anwar kembali ke dalam politik dan ‘pembebasannya’ daripada larangan menjawat jawatan awam, Wan Azizah meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil pada Ogos 2008.
Selepas kira-kira 10 tahun tersisih dari politik, Permatang Pauh nyata tidak mengecewakan Anwar apabila beliau menang menewaskan calon BN, Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Mamat dari AKIM. Dengan kemenangan itu Anwar kembali ke Parlimen, tetapi kali ini sebagai Ketua Pembangkang.
Pada PRU 2013, Anwar mengetuai Pakatan Rakyat menggempur BN hingga menyaksikan parti pemerintah itu hilang penguasaan majoriti dua pertiga. Sekali lagi Permatang Pauh kekal sebagai kubu kuatnya apabila menang dengan majoriti lebih 25,000 undi.
Pada 10 Februari 2015, Anwar dipenjarakan buat kali kedua. Beliau hilang kelayakan sebagai wakil rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan memaksa pilihan raya kecil diadakan.
Namun legasi Anwar di Permatang Pauh tetap utuh apabila Wan Azizah sekali tampil mengambil alih tempat suaminya dalam PRK yang diadakan untuk mengekalkan sentuhannya di kawasan Parlimen itu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, Parlimen Permatang Pauh diserahkan kepada Nurul Izzah, apabila Wan Azizah beralih untuk bertanding di Parlimen Pandan. Nurul Izzah memastikan pengaruh Anwar tidak lenyap dari Permatang Pauh apabila menewaskan dua calon lain dengan majoriti lebih 15,000 undi.
Namun, momentum itu terhenti pada PRU15 apabila Nurul Izzah tewas kepada Muhammad Fawwaz dengan majoriti 5,272 undi. Ia seolah-olah menamatkan legasi Anwar di kawasan yang menjadi kubu kuatnya selama 40 tahun.
Bagi sebahagian penyokong reformasi, pendokong tegar Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak dari awal, mereka agak kesal kerana Permatang Pauh tidak bersama-sama dengan Anwar ketika beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Ini kerana, ketika beliau jatuh, bersusah payah untuk bangun dan bergelut untuk memastikan jenama Anwar kekal dalam politik tanah air, Permatang Pauh adalah pusatnya. Permatang Pauh adalah nadi kepada kepada segala pergelutan itu, namun ia gagal dipertahankan pada PRU15.
Parkara itu diakui oleh Muhammad Fawwaz sambil berharap agar Anwar terus memantau kawasan itu selepas dilantik menjadi Perdana Menteri.
“Permatang Pauh ialah (kerusi) warisan Anwar. Diharapkan beliau akan memberi perhatian kepada keperluan kawasan ini,” kata Muhammad Fawwaz.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya