Persada politik Malaysia terus menyaksikan episod dinamik dengan skrip yang sukar diramal. Tiga perkembangan terkini — desakan UMNO Sembrong untuk menamatkan penggantungan Hishammuddin Hussein, kejutan dalam Pemilihan PKR sehingga ‘kehilangan’ Rafizi Ramli dalam radar kerajaan, serta kegemparan kekalahan war lord Pas Perlis – kini semakin menarik dengan satu lagi teka-teki utama: Adakah Khairy Jamaluddin (KJ), figura yang sukar dijinakkan, akan kembali memarakkan kancah UMNO yang sedang hilang arah?
Dan lebih penting, apakah game plan Presiden UMNO sebagai ketua strategi dalam bayangan persaingan baru- antara kesinambungan atau perubahan sebenar?
UMNO: Pembaharuan atau recycle bakti lama?
Desakan UMNO Sembrong untuk menamatkan penggantungan Hishammuddin hakikatnya lebih daripada isu peribadi. Ia petanda UMNO berdepan pertembungan dua arus utama – pembaharuan atau ketertimewaan lama. Jika Majlis Tertinggi UMNO tunduk pada desakan sebahagian akar umbi dan mengangkat kembali Hishammuddin, ia dianggap sebagai win kepada kem profesional dan pragmatik: kelompok yang mula kelihatan dalam UMNO semakin terasing sejak jatuhnya kerajaan Barisan Nasional dahulu.
Namun, tidak sedikit yang melihat ini sebagai pengiktirafan semula kuasa politik dinasti dan lama — satu manifestasi bahawa UMNO enggan benar-benar berganjak. Penerimaan semula Hishammuddin memberi sedikit ‘oksigen’ kepada citra sederhana, tetapi jika difahami lebih kritis, ini boleh menjadi upaya makeover kosmetik untuk menutupi agenda sebenarnya: kesinambungan elit dan kronisme.
KJ, si anak nakal yang kini diresapi legenda?
Pengaruh KJ dalam naratif politik UMNO ibarat ‘hantu’ yang belum benar-benar bermukim, tetapi cukup menggetarkan. Lihat bagaimana rakyat akar umbi, malah penyokong pembangkang, terus menuntut KJ ‘balik kampung’ ke UMNO setelah pemecatannya.
Soalannya adakah Presiden UMNO cukup berani untuk membuka semula pintu kepada ‘anak hilang’ ini, atau terus tunduk pada tekanan old guards yang takut akan bayang-bayang revolusi dalaman?
Jika diterima kembali, KJ mampu menjadi jalur baru dalam memperluas appeal UMNO dalam kalangan pengundi muda dan kelas pertengahan. Namun risiko paling jelas adalah ‘dua harimau di atas satu gunung’: pertembungan terbuka antara kem presiden sekarang dan pasukan reformasi yang pasti mengasak tuntutan meritokrasi dan perubahan akar umbi. Kemasukan KJ juga boleh mengganggu status quo, mempercepatkan persaingan dalaman ketika UMNO sedang tenat mencari identiti baharu.
Tidak mustahil, penerimaan kembali KJ menjadi titik pemecahan — UMNO lebih progresif atau UMNO terus ‘berputar-putar’ di takuk lama?
Sebaliknya, jika pintu terus tertutup, UMNO bakal kehilangan lagi daya tarik urban dan profesional. KJ, dengan pengaruh peribadi dan pengalaman pentadbiran, mampu sahaja membina gelombang baharu, sama ada melalui pentas baharu politik atau terus menjadi perancang di belakang pentas.
Rata-rata, Presiden UMNO masih mengamalkan retorik penyatuan – “UMNO kuat kembali”, “parti harus bersatu”, namun bila diuji dengan soalan paling asas, adakah UMNO sedang memperjuangkan kelangsungan parti atau kelangsungan beberapa individu?
Tiada naratif konkrit. Malah, krisis dalaman dibiarkan berlarutan, seolah-olah setiap race kelompok ke arah penyatuan hanya sandiwara.
Setakat ini, strategi presiden lebih cenderung kepada pendekatan damage control berbanding pelan jangka panjang. Penerimaan kembali Hishamuddin, jika berlaku, akan ditampilkan sebagai usaha muafakat, sedangkan penyelesaian terhadap KJ akan terus ditangguh sebagai ‘isu sensitif’. Langkah ini hanya menambah persepsi bahawa kepimpinan sekarang lebih takut pada cabaran dalaman daripada berubah untuk rakyat.
PKR: Keruntuhan senyap agenda reformasi
PKR kini berdepan detik kritikal apabila kehilangan Rafizi Ramli yang merupakan arkitek utama kejayaan PKR dalam beberapa pilihan raya melalui pendekatan ‘politik data’ dan strategi komunikasi yang berkesan. Beliau kini terpaksa berundur akibat politik dalaman dan ketidakupayaan kepimpinan parti menghargai sumbangan intelektualnya.
Dalam kekosongan ini, pelantikan Saifuddin Nasution Ismail bersama Nurul Izzah sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR, walaupun Saifuddin tidak bertanding dalam pemilihan parti dan tewas dalam PRU15, menimbulkan persoalan kritikal, adakah keputusan ini dapat menyuntik nafas baru atau sekadar mengulangi kegagalan lampau.
Nurul Izzah sendiri berdepan persepsi sama ada masih layak digelar ‘Puteri Reformasi’ atau bakal terjerat dalam kemelut politik dinasti dan keraguan terhadap keupayaannya berdiri sendiri sebagai pemimpin masa depan. Sementara itu, peranan penting Ramanan sebagai mastermind strategi turut diuji; sejauh mana kemampuan beliau membaca realiti politik baharu dan memastikan PKR tidak terus hanyut dalam krisis identiti serta pertarungan dalaman akan menjadi penentu survival masa depan parti.
Kini, PKR memerlukan lebih daripada sekadar wajah-wajah lama dan permainan taktikal, sebaliknya harus membuktikan benar-benar mampu bangkit sebagai parti reformasi yang matang.
Pas: Paradoks demokrasi dalaman
Kekalahan pimpinan Perlis dalam pemilihan Pas peringkat kawasan sebenarnya menunjukkan kekuatan dalaman parti yang sering dipandang sebelah mata oleh pengkritik. Namun, ia juga membongkar realiti bahawa Pas sedang menghadapi tekanan untuk berubah dari dalam.
Bukan itu saja, kekalahan ini membuka ruang baharu kepada suara muda atau kelompok perubahan. Namun jika tidak diurus dengan bijak, retakan ini juga mampu membibitkan benih perpecahan yang lebih kritikal — bahkan potensi Pas hilang pengaruh di negeri sendiri.
Fenomena ini mencerminkan ketegangan antara kepimpinan nasional Pas yang semakin pragmatik dengan akar umbi yang masih berpegang kepada idealisme asal. Perubahan ini mungkin menandakan evolusi Pas ke arah parti yang lebih responsif, tetapi ia juga boleh mencetuskan fragmentasi dalaman jika tidak diurus dengan bijak.
Pelamin angan sama, cuma pengantin berbeza?
Naratif gabungan semula UMNO-Pas sentiasa menjadi mitos yang diguna pakai setiap kali wujud ketidakstabilan kerajaan. Hakikatnya, jika UMNO dan Pas kembali menubuhkan satu pakatan Melayu-Islam paling besar dalam sejarah, banyak parti -PKR, Bersatu, Amanah – akan terpinggir, dan landskap parti menjadi model dua blok terbesar: Islamis/Melayu konservatif versus pelbagai kaum/progresif (PH-dan sekutunya).
Gabungan ini akan mencipta hegemoni politik Melayu-Islam yang dominan, berpotensi menguasai lebih 75 peratus kerusi Parlimen. Dengan jentera UMNO yang berpengalaman, ideologi Pas yang mengakar, dan tambahan kredibiliti KJ, mereka boleh membentuk kerajaan stabil tanpa bergantung kepada parti lain.
Kesan langsungnya:
• PKR dan DAP akan semakin terisolasi di bandar dan negeri, berdepan naratif ‘parti bukan Melayu-Muslim’.
• Bersatu tidak lagi relevan, sekadar bayangan UMNO dalam penampilan baru, dengan pengaruh dan jentera yang kian tenat.
• Pas dan UMNO pula, mungkin berdepan masalah ‘fitnah dalaman’ yang sama: perebutan kuasa akar umbi dan tokoh yang lebih berminat kepada kelangsungan sendiri daripada survival politik bangsa dan negara.
Yang lebih kritikal, rakyat tetap melihat semua ‘grand realignment’ ini sebagai usaha elit mempertahan status quo, bukan perubahan ikhlas untuk masa depan rakyat.
Malaysia kini di persimpangan, adakah kita bakal mengulangi sejarah elit yang beralih watak, atau sanggup melalui perubahan radikal demi negara?
Satu yang pasti, rakyat Malaysia semakin letih dengan drama recycle figura lama, sandiwara kelompok berkepentingan dan parti yang gagal belajar daripada sejarah sendiri. Masa depan Malaysia hanya berubah jika keberanian meletakkan rakyat di depan, dan bukan menunggu restu presiden atau old guard semata.
Dr. Zaharuddin Sani Sabri ialah bekas Ketua Pengarah Jasa










