Tidak wajar ugut parti - Ahmad Faizal

Tidak wajar ugut parti – Ahmad Faizal

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penyandang kerusi Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali tidak wajar membuat ugutan untuk bertanding sebagai calon Bebas jika tidak dipilih mempertahan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15  (PRU15).

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, secara peribadi beliau tidak mendengar kenyataan itu daripada Noor Azmi sendiri.

Menurutnya, namun ahli parti tidak sewajarnya membuat kenyataan sedemikian kepada parti.

“Mana-mana ahli parti tidak sewajarnya membuat ugutan kepada parti.

“Kalau ada pemimpin yang sanggup meninggalkan parti jika tidak dicalonkan dan menjadi calon Bebas, jelas pemimpin itu hanya berjuang untuk diri sendiri bukan untuk kepentingan parti,” katanya.

AHMAD Faizal Azumu mengendalikan jengkaut ketika melakukan gimik pecah tanah pembinaan Pusat Belia Perak di Tambun, Ipoh hari ini. – UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI

Beliau ditemui pemberita pada majlis pecah tanah pembinaan Pusat Belia Perak di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata, apabila menjadi sebahagian anggota parti, keputusan untuk meletakkan calon adalah keputusan parti.

Beliau berkata, sebagai mendukung perjuangan, ahli mesti mengikut keputusan yang dibuat pihak parti.

“Saya tidak mahu beri ulasan mengenai siapa bakal jadi calon di Bagan Serai.

“Namun saya percaya Noor Azmi faham kita perlu ikut keputusan parti.

“Beliau juga tentu faham sesiapa juga yang jadi calon perlulah kita sokong dan pastikan dapat kejayaan daripada calon kita ketengahkan,” katanya.

Semalam Noor Azmi Ghazali dilaporkan mungkin akan bertanding Bebas di Parlimen Bagan Serai jika tidak dicalonkan semula oleh Perikatan Nasional (PN) di kerusi itu.

Menurut Noor Azmi, beliau berpegang pada janji iaitu penyandang dikekalkan bagi mempertahan kerusi itu apatah lagi beliau merupakan anak tempatan di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN