Tampin mahu Shaziman, tolak orang luar

Tampin mahu Shaziman, tolak orang luar

SHAZIMAN ABU MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor antara nama yang dihantar sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi merebut kembali kerusi Parlimen Tampin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa yang turut berpandangan kepemimpinan Shaziman masih diperlukan di Tampin walaupun tewas semasa pilihan raya umum yang lalu.

“Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tampin yang dipilih oleh ahli-ahli UMNO. Beliau masih tetap lagi membantu masyarakat Tampin walaupun tanpa jawatan sebagai wakil rakyat.

“Kami masih memerlukan beliau, jika tiada calon-calon tempatan yang lain yang lebih berkaliber, kami harap beliau., tidak perlu orang luar,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Mohd. Isam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh berkata, Persidangan UMNO Bahagian Tampin sebelum ini juga telah mengusulkan supaya calon-calon PRU15 sama ada di kerusi Parlimen Tampin, Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh dan DUN Gemas mestilah datang dari dalam kalangan ahli UMNO Tampin.

“Ini seiring dengan keputusan yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini yang mengembalikan mandat untuk memilih calon kepada UMNO di peringkat bahagian.

“Usul-usul ini penting kerana UMNO bahagian lebih memahami situasi politik di kawasan dan calon yang paling tepat serta sesuai. Ini ketetapan kami, malah 85.5 peratus cawangan UMNO juga membawa usul ini,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Shaziman yang menyandang kerusi Parlimen Tampin sejak empat penggal sebelum itu tumpas kepada calon dari Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr. Hasan Baharom dengan hanya perbezaan 1,002 undi. Seorang lagi calon iaitu, Abdul Halim Abu Bakar dari Pas pula mendapat 4,598 undi.

Sebelum ini kerusi Parlimen Tampin disebut-sebut sebagai salah satu kerusi yang mungkin akan ditandingi oleh Khairy Jamaluddin.

Ia selepas Menteri Kesihatan itu mengesahkan akan memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi Rembau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN