Tamak kuasa jika enggan bubar DUN

Tamak kuasa jika enggan bubar DUN

pru15
AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti politik termasuk pembangkang sebenarnya yang tamak kera­na enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semata-mata mahu ke­kal berkuasa.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada hakikatnya pihak berkenaan enggan menyerahkan kembali hak dan mandat kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baharu setelah bimbang tidak dapat kekal sebagai kerajaan.

Katanya, mereka sanggup menyebabkan berlaku pembaziran untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara berasingan gara-gara khuatir akan kehilangan kuasa.

“Gabungan politik tamak kuasa adalah sesuai untuk mereka yang enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri dikuasai mereka agar terus kekal mempertahankan kuasa.

“BN jika tamak kuasa seperti mereka boleh tidak membenarkan negeri yang ditadbirnya tidak membubarkan DUN, namun bukan itu tujuan politik BN,” katanya dalam Facebook beliau semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU15.

Susulan pengumuman pembubaran Parlimen itu, SPR perlu menetapkan tarikh pilihan raya diadakan selaras Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan menetapkan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran Parlimen.

Ahmad Zahid menjelaskan, BN tidak boleh dikatakan sebagai pihak yang tamak kuasa sekiranya mahu mengadakan PRU15 sedangkan langkah itu bertujuan menyerahkan kembali hak dan mandat rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Kata Presiden UMNO itu, sebaliknya persepsi berkenaan hanya sesuai bagi mana-mana pihak yang enggan membubarkan DUN.

Beliau menegaskan, PRU-15 bukanlah satu proses menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada BN tanpa ada pertandingan, sebaliknya sebuah proses undian yang memberi peluang kepada rak­yat untuk menentukan kerajaan baharu.

“Justeru, dimanakah dikatakan BN tamak kuasa sedangkan yang berlaku pada PRU-15 adalah rakyat diberi mandat dan kuasa sepenuhnya untuk menentukan masa depan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN