Status quo MCA di Kota Melaka, Alor Gajah kekal

Status quo MCA di Kota Melaka, Alor Gajah kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Barisan Nasional (BN) dijangka mengekalkan status quo buat MCA bertanding di kerusi Parlimen Alor Gajah dan Kota Melaka untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, UMNO pula akan terus kekal bertan­ding di Tangga Batu, Masjid Tanah, Jasin dan Hang Tuah Jaya.

Beliau berkata, senarai calon seramai lima orang setiap bahagian telah diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk dinilai sebelum dimuktamadkan membawa cabaran BN merampas kembali empat Parlimen iaitu Masjid Tanah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya dan Alor Gajah.

“Rakyat kini sudah sedar terutama pengundi atas pagar, rekod cemerlang BN mentadbir negara selama 60 tahun tidak mampu disamai oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sewaktu tadbir negara selama 22 bulan.

“Kalau hendak kerajaan yang mempunyai rekod yang baik mentadbir negara selama 60 tahun, maka, rakyat harus percaya dan memilih BN. Tiada parti lain yang mampu melakukannya melainkan UMNO dan BN.

“Berdasarkan sokongan sewaktu pilihan raya negeri (PRN) apabila BN menang besar sudah tentu empat kerusi Parlimen bagi PRU15 mampu dirampas kembali,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, akhbar ini me­laporkan, tugas besar perlu dipikul kepemimpinan BN Melaka selepas pucuk pimpinan tertinggi parti menyasarkan lima kerusi Parlimen perlu dimenangi di negeri ini dalam PRU15.

Meskipun berat, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sasaran lebih 80 peratus itu tidak mustahil untuk dicapai berdasarkan keupayaan parti yang memperoleh majoriti lebih dua pertiga pada PRN Melaka.

Walaupun tidak menamakan secara jelas, lima kerusi berkenaan dipercayai adalah Tangga Batu, Jasin, Hang Tuah Jaya, Masjid Tanah dan Alor Gajah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN