fbpx

Rafizi dakwa Kementerian Pertahanan lubuk rasuah

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan didakwa sebagai lubuk rasuah mana-mana individu yang berselindung di sebalik pertahanan negara.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, atas sebab itu beliau memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kontrak perolehan kementerian itu.

“Pertahanan bukan soal main-main, kita ada ancaman lanun di Sabah, tersepit di Laut China Selatan, tetapi kita juga bukan negara kaya, jadi tak boleh habiskan banyak peruntukan.

“(Namun) duit (peruntukan) sedikit pun boleh makan berbilion, tetapi berselindung di sebalik pertahanan selama berdekat-dekat sebab itu  kementerian pertahanan jadi lubuk curi duit.

“(Kita) tak tahu berapa bilion yang dibazirkan dalam (tempoh) 20 atau 30 tahun lepas, sebab itu saya tumpu sebab lubuk rasuah adalah Kementerian Pertahanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog pengundi muda Ayuh Malaysia bersama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di sini.

Ogos lalu, selepas pendedahan kelompongan kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Rafizi mendedahkan beberapa perkara melibatkan skandal itu termasuk ‘syarikat palsu’ dan ‘jerung’ yang menyeleweng perolehan kapal tempur itu.

Malah, 4 Oktober lalu, Rafizi juga mendedahkan kepincangan kontrak perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) membabitkan peruntukan RM854 juta.

Justeru, Rafizi berkata, PKR dan Pakatan Harapan (PH) jelas bahawa pakatan itu perlu melakukan satu pemulihan dengan ketara dalam mengatasi kepincangan dalam pertahanan negara.

“Kalau tak uruskan betul-betul, memang ada pelobi daripada pembuat senjata besar walaupun prosesnya telus.

“Sebab itu bagi saya, kita perlukan suruhanjaya diraja yang dianggotai oleh bekas-bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ada semangat cintakan negara.

“Tahun 1980-an ATM antara yang terbaik sebab itu dulu kita selalu dengar ada berita latihan ketenteraan bersama, tetapi sekarang kita tak dengar.

“Orang bawa kereta (peralatan) hebat, tetapi (kita) bawa Proton Saga. Apa yang kita rasa tentang itu?,” soalnya. –UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN