PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk berdepan dengan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Malah, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, apa yang paling penting bagi parti itu adalah memelihara ‘jenama’ gabungan Perikatan Nasional (PN) yang perlu terus dipertahankan biarpun ada segelintir melihat parti itu semakin malap.
“Walaupun saya rasa ada pandangan mendakwa Bersatu semakin malap itu satu tamparan, dalam masa sama ia bermakna kami sudah melakukan satu perkara yang betul dengan memperkasakan PN dan tinggalkan ‘jenama’ Bersatu.
“Kami bawa jenama PN pula dan seandainya jenama PN lebih cerah dan dikenali, itu tanda apa yang dibuat oleh satu gabungan iaitu PN memberi impak yang baik kepada rakyat,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini
Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, beliau memuji sikap dan pendirian Pas yang masih berusaha membina penyatuan ummah dan mempertahankan Muafakat Nasional (MN) biarpun dikecam dan ditolak UMNO.
“Sebenarnya Pas sedang cuba untuk mencari titik dalam penyatuan ummah dan apa yang mereka buat sesuatu yang murni. Mereka mahu bekerjasama dengan blok lebih besar.
“Gerak kerja perlu tersusun langkah demi langkah. Apa masalahnya kalau Pas mahu bekerjasama dengan UMNO? Adakah perlu saya mengecam Perdana Menteri disebabkan beliau orang UMNO? Apakah yang sepatutnya diperangi sekarang? Rasuah dan salah guna kuasa,” jelasnya. – UTUSAN










