Promosi kraf peluang beli barangan Malaysia - Utusan Malaysia

Promosi kraf peluang beli barangan Malaysia

AZRAN bersama usahawan batik di promosi ‘Promosi Kraf Sempena Kempen Beli Barangan Malaysia 2022’.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Promosi Kraf Sempena Kempen Beli Barangan Malaysia berlangsung pada 10 hingga 16 Oktober 2022 di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur dengan penglibatan 30 usahawan dan komuniti kraf.

Promosi ini memberi peluang kepada orang ramai untuk membeli pelbagai jenis produk kraf tempatan dengan harga berpatutan dan pembeli berpeluang mendapat rebat baucar RM30 dengan setiap pembelian gandaan RM100 ke atas semua produk yang dijual antaranya batik, seramik, piuter, produk kayu, aksesori dan dekorasi kraf.

Program dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Kraftangan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri Kraftangan Malaysia, Azran Arip menjelaskan, pengunjung dapat melihat dan merasai sendiri penghasilan produk kraf melalui interaktif yang disediakan,” katanya.

Kata beliau, apa yang istimewanya promosi kali ini ialah kempen ‘Ini Batik Malaysia’ yang selari dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengisytiharkan 3 Disember merupakan Hari Batik Malaysia yang disambut setiap tahun.

“Ini supaya masyarakat mengenali batik Malaysia. Kita adakan pameran ‘Ini Batik Malaysia’ bagi memberi pendedahan peringkat awal tentang perbezaan batik Malaysia kepada pengunjung yang datang ke promosi ini,” katanya.

Pada masa sama, Azran menjelaskan, program turut memberi peluang kepada usahawan kraf tempatan untuk memasarkan produk secara fizikal selain daripada memasarkannya secara dalam talian iaitu platform MYCRAFTSHOPPE.

“Sepanjang tiga hari promosi ini berlangsung, jumlah jualan amat menggalakkan dan diharap sasaran jualan kraf RM400,000 dan jumlah pengunjung seramai 30,000 orang dapat dicapai. Ini sekaligus memberi hasil pulangan yang positif kepada usahawan dan komuniti kraf,” katanya.

Beberapa aktiviti menarik turut disajikan buat pengunjung antaranya kuiz, putar dan menang, pertandingan seni kreatif, persembahan kesenian dan permainan rakyat.

Justeru, Azran menaruh harapan tinggi agar masyarakat Malaysia dapat menyokong produk kraf tempatan dan industri kraf secara keseluruhan.

“Sebelum ini pandangan orang bahawa produk kraf hanya untuk kegunaan harian tertentu sahaja tetapi produk kraf ini sebenarnya mempunyai pelbagai kegunaannya.

Melalui Kempen Beli Barangan Malaysia dan Kempen ‘Ini Batik Malaysia’, diharap masyarakat dapat menyokong dan membeli produk kraf tempatan bagi merancakkan ekonomi negara, itu yang kita harapkan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya