PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan empat kertas siasatan berhubung dakwaan salah laku Tan Sri Tommy Thomas kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dengan cadangan bekas Peguam Negara itu dituduh di mahkamah.
Sumber memberitahu Mingguan Malaysia, polis pada mulanya membuka lima kertas siasatan terhadap bekas Peguam Negara berkenaan namun hanya empat yang diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
Kini, kata sumber itu, polis menunggu maklum balas daripada DPP yang meneliti fakta kes dan menyemak kertas siasatan beserta cadangan empat pertuduhan yang dikemukakan sama ada diterima atau sebaliknya.
“Pegawai penyiasat kes berkenaan juga sudah mengadakan perbincangan dengan DPP dan masih menunggu maklum balas daripada pihak tersebut,” kata sumber itu semalam.
Sumber berkata, cadangan pertuduhan dikemukakan polis seperti yang terkandung dalam buku laporan Pasukan Petugas Khas bertajuk Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice In The Wilderness Tulisan YBhg. Tan Sri Tommy Thomas, Bekas Peguam Negara yang dinyahsulit kerajaan.
Menerusi laporan tersebut, Pasukan Petugas Khas mendapati Tommy mungkin melakukan kesalahan di bawah Seksyen 124I dan 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; dan di bawah peraturan, prosedur serta pekeliling Kerajaan.
LAPORAN
Semalam Utusan Malaysia yang memperoleh buku laporan setebal 822 muka surat Pasukan Petugas Khas menyenaraikan sembilan elemen kemungkinan berlaku salah laku bekas Peguam Negara itu.
Antaranya campur tangan Tommy dalam melantik hakim-hakim, membocorkan rahsia kerajaan, menyalahguna kuasa melantik peguam luar untuk mewakili kerajaan sehingga mencemarkan imej badan kehakiman.
Berdasarkan laporan tersebut, Pasukan Petugas Khas berkata, terdapat kemungkinan buku itu melanggar beberapa peruntukan undang-undang dan boleh disiasat di bawah beberapa seksyen.
Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, laporan Pasukan Petugas Khas yang menyenaraikan sembilan elemen kemungkinan salah laku Tommy tidak cukup membuktikan beliau bersalah atau sebaliknya.
Ini kerana, menurut beliau, selaras prinsip undang-undang yang menyatakan bahawa seseorang itu tidak didapati bersalah selagi belum diputuskan bersalah oleh mahkamah.
“Justeru, kini terserah kepada Jabatan Peguam Negara untuk membawa kes ke mahkamah dengan mendakwa Tommy jika mendapati wujud elemen salah laku. Jika Tommy dihadapkan ke mahkamah sekali pun, beliau belum bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.
“Walaupun pasukan khas merumuskan kewujudan salah laku, tidak boleh menyimpulkan Tommy bersalah kerana yang akhirnya menentukan adalah mahkamah. Mungkin bagi Tommy, beliau tidak bersalah, sebaliknya pihak lain cakap bersalah, jadi adalah sukar membuat keputusan membabitkan satu pihak,” kata beliau.
RUMUSAN
Selain itu, kata Abu Talib, masih terlalu awal untuk membuat rumusan terhadap kesan dan kedudukan pelantikan hakim susulan laporan Pasukan Petugas Khas itu menyebut wujudnya campur tangan dalam pelantikan hakim-hakim kerana sebarang keputusan hendaklah diambil selepas Tommy disahkan bersalah.
“Begitu juga dengan dakwaan membocorkan rahsia kerajaan dan menyalah guna kuasa melantik peguam luar, sebarang kelemahan dan penambahbaikan perlu diteliti selanjutnya oleh kerajaan selepas keputusan mahkamah,” ujarnya.
Ditanya keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), Abu Talib memberitahu, menubuhkan badan atau pasukan siasatan khas hanya sia-sia sekiranya tiada keputusan diambil oleh kerajaan.
Katanya, sebelum ini terdapat banyak RCI yang diwujudkan bagi mencari penemuan kes tertentu tetapi semua tidak ‘berlaku apa-apa’ kerana kerajaan gagal membawa pesalah ke muka pengadilan.
Tommy ketika dihubungi Mingguan enggan mengulas mengenai hasil laporan Pasukan Petugas Khas tersebut.
Tommy hanya menjawab, ‘tiada komen, terima kasih.” – UTUSAN










