PETALING JAYA: PKR menolak untuk bekerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi Gerakan Tanah Air (GTA) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi mengelakkan perbuatan khianat dan mungkir janji bekas Perdana Menteri itu berulang.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, partinya tidak pernah mempertimbangkan langsung soal kerjasama dengan Dr. Mahathir selepas dikhianati sebelum ini.
Katanya, perkara itu bersandarkan ingatan hadis Nabi Muhammad SAW supaya jangan sampai dipatuk ular dua kali di lubang yang sama.
“Saya terlibat sungguh-sungguh dalam mendamaikan Dr. Mahathir (Dr. Mahathir) dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi akhirnya Dr. Mahathir hanya berbalas dengan khianat dan janji.
“Sebelum ini (PRU14) kami bagi peluang dan kami bersangka baik serta letak (Dr. Mahathir) sebagai pilihan pertama (calon) Perdana Menteri walaupun PKR hampir terbelah dua ketika itu.
“Saya membantu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengajak ahli parti menerima Tun M pada waktu itu melawan UMNO dan (PRU14) telah pun membuktikan bahawa UMNO boleh dikalahkan dan PKR boleh menjadi pemaaf pada waktu itu.
“Pengalaman hampir 2 tahun bersama (Dr. Mahathir), sejarah berkawan dengan Tun M adalah sejarah khianat dan mungkir janji,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Kelmarin, media melaporkan, GTA terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang menentang UMNO termasuk PKR dalam menghadapi PRU15.
Kelmarin, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Penaja GTA berkata, GTA hanya bekerjasama dengan parti yang menentang UMNO dan sanggup berbuat demikian untuk menyelamatkan negara ini daripada pentadbiran parti tersebut.
“UMNO sebuah parti yang tidak sama sekali mengambil berat masalah rakyat dan mereka hanya mahu menjadi Perdana Menteri serta menjadi kerajaan,” katanya.
Sementara itu, PH dan Pas kekal untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri diterajui.
Saifuddin berkata, pendirian PH untuk tidak membubarkan DUN kerana mengambil kira implikasi nyawa dan harta benda berbanding implikasi kos semata-mata.
Beliau berkata, pertimbangan itu bagi mengelakkan musim tengkujuh yang berisiko menyebabkan kehilangan nyawa, harta benda dan penglibatan perbelanjaan besar kepada rakyat.
“(Mungkin) ada sudut pandangan kos semata-mata, tetapi pertimbangan kita pula mengelak musim tengkujuh sebab menyebabkan (kehilangan) nyawa harta benda dan melibatkan perbelanjaan besar kepada rakyat,” katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, SPR terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan kira-kira RM300 juta bagi mengadakan pilihan raya secara berasingan negeri yang tidak membubar DUN serentak dengan pembubaran Parlimen.
Negeri-negeri yang tidak membubarkan DUN itu adalah Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dengan mandat di semua negeri ini hanya tinggal enam bulan sahaja.
Dalam pada itu, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, Pas daripada awal menyatakan PRU15 mesti diadakan pada tahun hadapan dan tidak berganjak dengan pendirian itu.
“Itu adalah kos kerajaan jadi tidak dinafikan (pembaziran), tetapi kalau kerajaan rasional dia tidak bubar tahun ini, apabila bubar macam cari penyakit.
“Kita tetap dengan pendirian kita, (jadi) pembaziran (pilihan raya asing) itu berpunca daripada individu yang bubar. Siapa suruh membazir? Sebab itu kita kata pilihan raya umum jangan dibuat sebelum tahun depan. Salahkan dia bukan salahkan Pas,” ujarnya. – UTUSAN










