PETALING JAYA: Pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof, 38, mengetahui lebih awal mengenai pemilihan sutradara lain untuk menggalas tangungjawab itu dalam projek prekuel filem tersebut.
Menurut anak Datuk Yusof Haslam itu, beliau melihat pertukaran sutradara dalam filem itu sebagai langkah baik, selain memberi peluang lebih ramai pengarah berpotensi mengasah kemampuan masing-masing.
“Setiap pengarah pasti ada gaya persembahan tersendiri. Ini juga peluang kepada individu yang terpilih menunjukkan skil pengarahan dan penulisan berbeza.“Semoga pasukan baharu bagi projek Mat Kilau 2 atau filem epik lain yang dihasilkan Studio Kembara Sdn. Bhd. selepas ini berjaya dengan sentuhan pengarah berbeza.
“Ini juga langkah yang amat baik kerana dapat memberikan warna kepada industri perfileman Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Abdul Rahman pada majlis Studio Kembara Santai Bersama Media kelmarin memaklumkan Syamsul dan dua pelakon utama Mat Kilau, Adi Putra dan Beto tidak akan terbabit dalam pembikinan projek prekuel filem tersebut.
Abdul Rahman berkata, naskhah berkenaan akan memulakan penggambaran sama ada akhir tahun ini atau selewat-lewatnya, awal tahun depan.
Diminta memperincikan mengenai projek filem tersebut, Abdul Rahman memaklumkan, ia bakal memaparkan kisah-kisah berkaitan Mat Kilau, namun judulnya belum dimuktamadkan.
MAT KILAU
Sementara itu, pelakon, Datuk Adi Putra yang membawakan watak Mat Kilau turut berkongsi perasaan sama iaitu tidak kecil hati apabila namanya tidak tersenarai dalam barisan utama pembikinan filem prekuel tersebut.
Adi sebaliknya bersyukur dengan rezeki yang ada dan berlapang dada walaupun hanya mengetahui tentang perkara itu selepas membaca kenyataan Penerbit Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali di media.
“Alhamdulillah, kita perlu bersyukur dengan apa yang ada. Saya tidak dimaklumkan apa-apa, hanya tahu daripada kenyataan beliau di media,” katanya.
Adi berkata, ketika ini beliau sibuk menguruskan syarikat umrah yang membawa jemaah ke Tanah Suci dan belum menerima sebarang tawaran lakonan, sama ada drama atau filem dalam masa terdekat.
Pelakon yang membawakan watak Wahid, Beto Kusyairy pula memaklumkan, dia kini lebih memberikan fokus kepada projek lain yang bakal dijayakan.
“Saya tak nak komen apa-apa (tidak dipilih dalam prekuel). Saya sudah move on dengan projek lain. Maaf dan terima kasih,” katanya menerusi WhatsApp.
Mat Kilau yang mencatat kutipan RM97 juta sejak ditayangkan 23 Jun lalu melakar pencapaian sebagai filem tempatan mencapai jualan tiket tertinggi dalam sejarah. – UTUSAN










