IPOH: Kerajaan Perak disaran meluluskan undang-undang berkaitan anti-lompat parti terlebih dahulu sebelum memohon perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Chong Zhemin berkata, Perak pernah berdepan ketidakstabilan politik dalam tempoh 11 tahun selepas dua kali kerajaan negeri yang sah tumbang akibat pengkhianatan politik.
“Laporan media melaporkan bahawa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad akan menghadap Sultan Perak pada pukul 2 petang hari ini untuk pembubaran DUN Perak.
“Saya ingin menyeru Datuk Seri Saarani supaya jangan bertindak terburu-buru dalam pembubaran DUN Perak kerana akta (enakmen) anti-lompat parti Perak belum dibentangkan dan diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau meminta kerajaan Perak mencontohi Kerajaan Perlis yang mengumumkan akan membentangkan undang-undang anti-lompat parti esok pada Sidang DUN dan meluluskannya sebelum DUN dibubarkan.
Menurut beliau, berdasarkan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, memberi kuasa kepada Menteri Besar untuk memanggil Sidang DUN Tergempar tanpa sebarang notis.
“Datuk Seri Saarani boleh memanggil satu sidang DUN tergempar untuk membentangkan akta anti-lompat parti, membahaskannya dan meluluskan penggubalan Perlembagaan Negeri (Undang-undang Tubuh Negeri) dalam sehari.
“Ia selaras dengan penggubalan Perlembagaan Persekutuan berhubung akta anti-lompat parti. Saya yakin penggubalan Perlembagaan Negeri berkaitan akta anti-lompat parti ini boleh mendapat sokongan lebih dua pertiga daripada ahli DUN Perak,” ujar beliau.
Jelas beliau, kali pertama kerajaan negeri tumbang akibat lompat parti ialah pada 2009 apabila tiga ADUN Pakatan Rakyat keluar parti masing-masing menjadi ADUN bebas dan menyokong Barisan Nasional (BN) untuk menjatuhkan kerajaan tersebut.
Beliau memberitahu pengkhianatan kedua berlaku pada 2020, apabila beberapa ADUN mengalih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) menyebabkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.
Oleh itu, tegas beliau, Perak wajib meluluskan enakmen anti-lompat parti sebelum DUN Perak dibubarkan untuk mengelakkan peristiwa pahit itu berulang. –UTUSAN










