PARLIMEN Jerai boleh dikatakan sebagai swing chair antara Pas dan Barisan Nasional (BN) di Kedah kerana penyandangnya silih berganti sejak Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) pada 1999 sehingga kini.
Politik dinamik itu bermula selepas Tan Sri Badruddin Amiruldin yang kini Pengerusi Tetap UMNO menang dua penggal di kerusi itu dalam PRU8 dan PRU9 masing-masing pada tahun 1992 dan 1995.
Namun, pada PRU10, Badruddin yang pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tewas kepada bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.
Beliau kemudian kembali menang pada PRU11 (2004) apabila mengalahkan Che Din Arshad daripada Pas, namun sekali lagi kecundang pada 2008 kepada calon Pas, Firdaus Jaafar yang sekali gus menjadi penamat kepada kariernya sebagai Ahli Parlimen.
Selepas itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang pertama kali menyertai pilihan raya pada 2013 di bawah tiket BN berjaya merampas semula kerusi itu daripada Pas apabila beliau mendapat 32,429 undi dalam PRU13.
Bagaimanapun, pada 2018, bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu kalah pula kepada Sabri Azit selepas mendapat 21,773 undi berbanding calon Pas berkenaan yang meraih 22,312 undi.
Dari segi undi majoriti yang membawa kemenangan kepada calon kawasan itu pula, kecuali 10,405 yang diraih Badruddin pada PRU11, perbezaan jumlah dalam edisi pilihan raya lain tidak terlalu ketara iaitu 539 undi pada PRU14; 1,196 (PRU13); 2,299 (PRU12) dan 182 undi pada PRU10.
Maka, melihat kepada kemenangan yang berubah-ubah di kawasan itu, terdapat ramalan bahawa BN pula yang akan menang kerusi itu pada PRU15 kali ini yang akan diadakan tidak lama lagi.
Namun, timbul persoalan siapa calon yang akan diketengahkan BN di Jerai selepas wujud spekulasi Jamil Khir tidak akan bertanding semula di kawasan itu kerana dikatakan akan ‘turun’ ke Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menjadi calon Menteri Besar.
Meskipun DUN Kedah ke-14 tidak akan dibubarkan seawal Mac 2023, dikatakan tidak ada poster boy lain yang lebih sesuai berbanding Jamil Khir kerana beliau juga adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah ketika ini.
Namun, dengan keputusan Pas tidak mahu membubarkan DUN Kedah, masih menjadi teka-teki sama ada Jamil Khir akan memberi laluan kepada calon lain di Parlimen Jerai atau beliau sendiri yang akan bertanding sekali lagi. – UTUSAN










