Gempur kawasan pengundi Melayu

Gempur kawasan pengundi Melayu

Young Syefura Othman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP sedia mengetengahkan lebih ramai calon Melayu menggempur ka­­wasan-kawasan yang telah dikenal pasti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman berkata, ia susulan sambutan positif kaum itu kepada perjuangan parti itu.

“Saya berharap agar lebih ramai calon Melayu diketengahkan pada PRU15 nanti. Ini kerana DAP juga ingin menggempur kawasan-kawasan Melayu se­perti yang disebut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke baru-baru ini.

“Saya juga yakin DAP sudah bersedia mengetengahkan lebih ramai calon Melayu kerana saya lihat sokongan Melayu terhadap DAP sekarang adalah lebih baik daripada dahulu, malah lebih baik daripada ketika saya mula-mula menyertai DAP.

“Ini mungkin kerana ramai yang sudah mula mengenali DAP dengan lebih baik dan memahami agenda DAP yang sebenarnya tidak seperti yang dimomokkan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas perkembangan sokongan kaum Melayu kepada DAP menjelang PRU15.

Sebelum ini, Anthony dila­porkan berkata, DAP akan mengetengahkan lebih ramai calon Melayu pada PRU15 bagi mengisi kekosongan kerusi yang sebelum ini ditandingi oleh calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kata Anthony, langkah itu sebagai usaha memperkasakan kepelbagaian dalam kepimpinan DAP selain turut menjangkakan pertambahan kerusi bagi calon parti itu pada PRU15 berikutan pembahagian semula kerusi Bersatu pada PRU14.

Mengulas lanjut, Young Syefura berkata, antara faktor yang menyebabkan sokongan Melayu terhadap DAP semakin baik adalah kerana wakil-wakil rakyat yang dipilih dari DAP benar-benar menjalankan tugas.

“Ia memberikan satu pandangan yang baik kepada parti dan telah menyebabkan masyarakat Melayu mula mendekati DAP. Kita juga tidak boleh sangkal faktor kejayaan pentadbiran di Pulau Pinang dan Selangor.

“Kejayaan DAP dalam pentadbiran di dua negeri itu sebenarnya telah membuka ruang untuk masyarakat Melayu mendekati dan mengenali DAP dan inilah sebenarnya yang ditakuti oleh pihak lawan.

“Oleh itu jika kita lihat akhir-akhir ini sudah mula serangan terhadap parti DAP yang berbaur perkauman dan rasis dimainkan oleh pihak lawan,” dakwanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN