PETALING JAYA: DAP menyatakan hasrat bertanding lebih 42 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang diyakini boleh membantu kemenangan Pakatan Harapan (PH).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Parlimen DAP Malaysia, Nga Kor Ming berkata, permintaan lebih banyak kerusi boleh menang itu mengambil kira prestasi parti pada PRU14 apabila menang 42 kerusi Parlimen dan lebih 100 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kami harap dapat diberi peluang oleh rakan-rakan PH supaya kami bertanding lebih banyak kerusi berdasarkan prestasi DAP pada pilihan raya sebelum ini demi membantu PH menang kali ini.
“Pada masa sama, matlamat kami juga adalah memberi sokongan penuh dengan kempen #AnwarPM10, jadi kami harap lebih banyak kerusi lagi untuk pembangkang menguasai Putrajaya.
“Tidak guna kita bertanding banyak kerusi tetapi semua tidak boleh menang. Namun yang penting, kita kena cerahkan peluang kemenangan barulah impian PH melaksanakan agenda reformasi demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Bekas ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, di samping mengekalkan kerusi Parlimen sedia ada, DAP juga akan terus memperluas pengaruh di kawasan-kawasan pedalaman menyedari kekuatan parti itu kebanyakannya di kawasan bandar.
“Atas usaha gigih kami, pengaruh DAP sudah bercabang ke pedalaman seperti di Tenom, Sabah. Ini memang kawasan pedalaman dan DAP menang di sana,” katanya.
Baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan DAP akan menampilkan lebih ramai calon Melayu pada PRU15 bagi meraih undi terutama di kawasan majoriti Melayu.
Bagaimanapun, pihaknya masih belum menentukan peratusan calon Melayu yang akan bertanding kerana masih di peringkat rundingan bersama parti komponen dalam PH tentang agihan kerusi.
Kor Ming juga mengulangi kenyataan partinya yang DAP akan meletakkan lebih ramai calon Melayu di setiap negeri.
“Inilah peluang keemasan untuk Melayu bangkit kerana sendiri mahu menghidupkan semula budaya Melayu yang penuh dengan sopan santun, hormat-menghormati, berbudi bahasa, bukannya diajar dengan nilai-nilai ‘malu apa bossku’.
“Saya ingin tegaskan, DAP adalah mesra kepada semua kaum, kami berjuang untuk semua masyarakat dan tidak pernah antiMelayu dan Islam. Kami cuma antirasuah,” katanya. – UTUSAN










