PETALING JAYA: Kekurangan bekalan telur ayam terus membelenggu beberapa buah negeri menyebabkan pengguna dan peniaga buntu.
Di Kangar, Perlis, kekurangan bekalan telur ayam menyebabkan pengguna sukar mendapatkan barangan berkenaan sejak kebelakangan ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar raya dan kedai runcit mendapati rak telur kosong.
Seorang pembekal yang enggan dikenali berkata, kekurangan bekalan ketara Jumaat lalu apabila pengedar tidak menghantar mengikut jadual.
“Pembekal cuba ditekan oleh pengedar agar kami menaikkan harga telur namun saya tidak mahu berbuat demikian bagi menjaga pelanggan,” katanya.
Di Kedah, kekurangan bekalan telur di Pokok Sena dan Padang Terap membimbangkan apabila peruncit dan peniaga makanan terpaksa mencarinya di daerah lain.
Peruncit, Mohd. Nasir Mahmud, 56, dari Pokok Sena berkata, masalah kekurangan telur bermula sebulan lalu.
“Ini menyebabkan saya terpaksa menjual secara siapa cepat dia dapat dan ini menyebabkan bekalan telur hanya mampu bertahan sehari sahaja” katanya.
Di Negeri Sembilan, kekurangan bekalan telur ayam turut dilaporkan berlaku di bandar ini.
Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Abu Bakar, 45, gangguan bekalan telur berlaku sejak beberapa hari lalu.
Begitu juga di Lembah Klang, peniaga peniaga restoran di Petaling Jaya tidak dapat menjual makanan seperti roti canai telur disebabkan kesukaran mendapatkan bekalan daripada pembekal.
Di Pulau Pinang, rata-rata peniaga di pasar awam di daerah Timur Laut mendakwa mereka semakin sukar mendapatkan bekalan sejak awal bulan. – UTUSAN










