Bajet 2023 tergantung

Bajet 2023 tergantung

BAJET 2023 yang dibentang Jumaat lalu tidak sempat dibahas ekoran pembubaran Parlimen, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bajet 2023 yang berjumlah RM372.3 bi­lion tergantung ekoran pembubaran Parlimen ke-14 yang berkuat kuasa semalam.

Pembentangan belanjawan itu yang dibuat tiga hari lalu bukan sahaja belum diluluskan, malah tidak sempat dibahas dalam kalangan ahli Parlimen yang sepatutnya bermula hari ini, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada Rang Undang-Undang (RUU) Pembekalan itu bakal diteruskan pada kerajaan baharu atau sebaliknya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Undang undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, mana-mana kerajaan yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sewajarnya meneruskan Bajet 2023 itu demi manfaat dan kebaikan rakyat.

Katanya, belanjawan itu dirangka berdasarkan situasi semasa ekonomi negara dan kemampuan serta kedudukan kewangan kerajaan yang secara tidak langsung menyentuh pelbagai lapisan masyarakat.

“Namun kerajaan baharu boleh menambah baik Bajet 2023 selepas mereka membentuk pentadbiran kelak dengan meningkatkan per­belanjaan dan memperbanyakkan inisia­tif untuk rakyat.

“Janganlah kita mengulangi kesilapan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menstruktur semula Bajet 2018 sehingga terdapat inisiatif dikurangkan khususnya membabitkan kebajikan untuk penjawat awam,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa serta-merta selepas Bajet 2023 dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen pada 7 Oktober lalu.

Sebelum ini Tengku Zafrul menjelaskan bahawa Bajet 2023 perlu diteruskan biarpun Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat dan perlu dibentangkan semula seperti mana pernah terjadi pada tahun 1999 iaitu belanjawan dibentangkan dan susulan itu pembubaran berlaku.

Dalam pada itu, Mohamad Faisol berkata, rakyat boleh memilih kerajaan sedia ada jika mereka mahu inisiatif Bajet 2023 dapat diteruskan selepas PRU15 agar segala inisiatif yang diumumkan dapat menjamin masa depan mereka.

Katanya, Bajet 2023 disifatkan terbaik apabila ia dirangka berdasarkan ketidaktentuan ekonomi global ekoran pe­perangan Ukraine-Rusia dan pemulihan dalam peralihan fasa endemik Covid-19.

“Namun segalanya terserah kepada rakyat untuk menentukan kerajaan mana yang terbaik demi menjamin kemampanan ekonomi dan kestabilan kerajaan seperti berlaku sebelum PRU14,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN