Anwar belum tentu menang di Tambun

Anwar belum tentu menang di Tambun

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum tentu mendapat kemenangan mudah jika berhasrat untuk bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Parlimen Tambun ketika ini disandang Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menang atas tiket Pakatan Harapan (PH) sebelum keluar dan menyertai gagasan Perikatan Nasional (PN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil berkata, peluang untuk menang di Tambun adalah tipis kerana ia merupakan kubu kuat kerajaan, sekalipun Anwar yang diakui mempunyai pengaruh besar bertanding di kerusi itu.

Justeru, daripada mengambil risiko, kerusi paling selamat untuk Anwar ialah kekal bertanding kerusi sedia ada di Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan atau kembali ke Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.

“Kita kena tahu karakter Anwar ini hebat dari segi retoriknya dan dalam sains politik retorik itu memang dibenarkan. Tetapi, dalam sejarah pilihan raya, Tambun memang tidak sesuai untuk pembangkang mendabik dada dan menang lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang momentum itu tidak memihak pembangkang.

“Pengundi juga sudah mempunyai pilihan masing-masing di tangan mereka, jadi, kalau beliau memilih tempat itu saya, saya setuju beliau memilih ‘jalan mati’.

“Kemungkinan beliau akan kalah besar, termasuklah parti Bersatu jika bertanding di sana. Kalau Pakatan Harapan (PH) mahu bertanding juga atas alasan boleh menang, saya tidak rasa begitu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Keputusan sama ada Anwar bertanding di Parlimen Tambun pada PRU15 hanya akan diumumkan pada Konvensyen Nasional PH yang dijadualkan berlangsung di Perak, 20 Oktober ini.

Untuk rekod, Anwar mula menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh pada 1982 sehingga pilihan raya umum 1999, sebelum beliau disingkirkan daripada UMNO dan kerajaan.

Anwar tidak bertanding pada PRU14 kerana meringkuk di penjara sehingga diberi pengampunan diraja susulan kejayaan Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Persekutuan pada 2018.

Pada 12 September 2018 pula, penyandang kerusi Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan bagi membuka jalan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk Anwar bertanding di sana.

Anwar kemudian menang kerusi tersebut dengan menewaskan enam calon lain dengan majoriti besar iaitu 23,560 undi dalam PRK pada 13 Oktober 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN