Pertuduhan Zahid bersifat terpilih – Peguam

Pertuduhan Zahid bersifat terpilih – Peguam

AHMAD Zahid Hamidi tiba di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, semalam untuk mendengar perbicaraan kes rasuah kontrak UKSB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pertuduhan ra­suah terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersifat terpilih kerana kes rasuah berkaitan kontrak Syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) hanyalah me­libatkan sumbangan politik.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mengetuai pasukan pembelaan berhujah, jika sumbangan politik menjadi asas dalam pertuduhan dan berdasarkan kenyataan dise­but pihak berkuasa, Presiden UMNO itu perlu dianggap berada pada kedudukan sama seperti ahli politik lain.

“Kenapa, kesemua ahli politik disebut tidak didakwa? Ke­napa pertuduhan cuma cuma dibuat (terhadap Ahmad Zahid) apabila beliau berada dalam si­tuasi sama iaitu menerima dana politik?

“Kenapa pasukan pendakwaan tidak bertindak adil berdasarkan kes-kes lain sebelum ini dan kesaksamaan berdasarkan undang-undang,” katanya ketika berhujah pada akhir pendakwaan kes rasuah kontrak UKSB di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Yazid Mustafa, semalam.

Beliau menambah, saksi pendakwaan (SP) Harry Lee Vui Khiun (SP15), Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani (SP16) dan David Tan Siong Sun (SP17) disifatkan sebagai tidak jujur, sukar dipercayai dan tiada kredibiliti

Menurutnya, mereka yang merupakan pegawai dari UKSB itu disifatkan sebagai rakan su­bahat jenayah tertinggi, malah kesaksian sebelum ini juga dilihat bertentangan antara satu sama lain .

Mereka sebelum ini menamakan 12 individu dalam kalangan ahli politik dan penjawat awam didakwa turut menerima dana.

Peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal dalam hujahannya memberitahu, tiada perkara luar biasa dalam permohonan pelanjutan kontrak UKSB dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berdasarkan kenyataan Setiausaha Bahagian Parol, Siti Jalilah Abd. Manap yang bersetuju perkara tersebut boleh dibuat tiga tahun lebih awal.

“Beliau bersetuju permohonan perlanjutan kontrak dibuat berdasarkan prosedur yang be­tul, malah keputusan tertuduh juga dibuat berdasarkan saranan seperti dalam Minit Ceraian (dokumen berkaitan kontrak).

“Bukti sedemikian (termasuk enam saksi lain KDN) adalah jelas. Tiada yang luar biasa dalam permohonan tersebut,” tegas­nya.

Hakim Mohd. Yazid kemudian menetapkan 5 September untuk mendengar hujahan akhir daripada pihak pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN