BARISAN Nasional (BN) dijangka berpeluang merampas kembali Parlimen Tangga Batu yang terlepas daripada genggaman kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Kerusi tersebut mula dipertandingkan pada 2004 dengan menjadi kubu kuat BN sejak PRU11 hingga PRU13.
Ia dimenangi calon UMNO iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (2004-2008), (2008-2013) dan bekas Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Abu Bakar Mohamad Diah (2013-2018).
Senario terkini berdasarkan kejayaan BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, menyaksikan gabungan itu menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) lantas menjadi suntikan semangat untuk memenanginya kembali.
Sekali lagi persaingan tiga penjuru dijangka berlaku pada PRU15 antara BN, PH dan Perikatan Nasional (PN) di kerusi itu.
Penyandang daripada PKR, Rusnah Aluai dijangka dicalonkan semula untuk mempertahan kerusi yang dimenanginya dengan majoriti besar 4,659 undi.
Hal ini berdasarkan keupayaanya memenangi posisi Ketua PKR Cabang Tangga Batu pada pemilihan parti tersebut, baru-baru ini.
Tidak terkecuali bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen juga antara pemimpin yang disebut-sebut bakal membawa cabaran PN, walaupun kerusi berkenaan secara tradisinya ditandingi calon Pas sejak PRU11.
Gerak kerja jentera pilihan raya Mohd. Rafiq dilihat aktif bergerak ke setiap pelosok Tangga Batu dengan pelbagai program diatur sejak tahun lalu hingga kini.
Bagi BN pula, dikatakan lima calon dinamakan UMNO Bahagian Tangga Batu kepada pucuk pimpinan tertinggi parti untuk dinilai bagi memikul tanggungjawab merampaskan kembali kerusi berkenaan.- UTUSAN










