Mangsa sindiket di Kemboja hidup atau mati?

Mangsa sindiket di Kemboja hidup atau mati?

Seramai 24 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran kerja di Kemboja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) di Sepang, kelmarin. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Usaha mengesan baki 30 rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang di Kemboja sukar, malah sehingga kini tidak diketahui nasib mereka masih hidup atau telah meninggal dunia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Duta Besar Malaysia ke negara itu, Datuk Eldeen Husaini Mohd. Hashim juga tidak menolak kemungkinan ada kalangan mangsa sindiket penipuan tersebut ada yang sudah meninggal dunia.

“Kami sendiri buat inisia­tif pergi semak semua pintu keluar masuk sempadan Kemboja dengan negara-negara jiran tetapi maklumat mereka langsung tiada dalam rekod pihak imigre­sen.

“Bahkan hasil risikan polis negara itu mengesyaki 30 mangsa ini guna laluan ‘tikus’ dianggap sebagai hilang atau mungkin telah lama meninggal,” katanya di sini semalam.
Jumaat lalu, beliau me­ngiringi 24 rakyat negara ini yang menjadi mangsa jenayah skim tawaran pekerjaan palsu itu balik ke tanah air bersama Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Setakat ini, terdapat baki 29 lagi rakyat Malaysia ditahan di depoh imigresen Kemboja susulan operasi besar-besaran oleh kerajaan negara itu sejak bulan lepas.

Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh sehingga kini mengesahkan sejumlah 148 rakyat negara ini menjadi mangsa skim tersebut berdasarkan laporan di­terima daripada waris mereka.

Kemboja mencatatkan bila­ngan paling tinggi kes warga Malaysia yang ‘terkandas’ akibat ditipu sindiket jenayah tersebut dengan 118 orang daripada mereka sudah pun berjaya dikesan.

Eldeen Husaini bagaimanapun sangsi dengan beberapa laporan media menyiarkan sidang akhbar mangsa bersama parti politik atau organisasi bukan kerajaan (NGO) tertentu.

“Jika ikut prosedur operasi standard (SOP), mangsa dilarang memberi kenyataan media kerana dibimbangi boleh mengganggu siasatan polis apatah lagi maklumat sensitif perisikan.

“Banyak kes geng itu sendiri menyamar berlakon menjadi mangsa untuk menyelinap balik ke Malaysia bagi meneruskan kegiatan penipuan memperdayakan lagi ramai remaja,” katanya.

Beliau memberi contoh beberapa operasi membawa pulang mangsa apabila sejurus tiba di negara ini disoal siasat lagi pihak polis dan hampir separuh daripadanya itu bukan mangsa.

Sebaliknya, mereka itu sendiri ialah ring leader atau pemimpin sindiket terbabit yang berpura-pura menjadi seperti mangsa untuk mengaburi pihak polis dan cuba melepaskan diri.

Bagaimanapun katanya, pihak polis ada SOP khas bagi menyaring mangsa dengan dibawa mengikut laluan alternatif ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Langkah itu turut memastikan tiada NGO yang bersekongkol dengan sindiket penipuan dan cuba mengambil kesempatan mengadakan sidang akhbar ko­non mereka mengiringi mangsa.

Eldeen Husaini turut mengesahkan, kebanyakan laporan disiarkan media apabila disiasat pihak kedutaan didapati tiada laporan yang diterima termasuk dari kalangan waris atau NGO itu.

“Ada juga NGO dikesan berhubung terus dengan kerajaan Kemboja tetapi tidak dilayan pun kerana negara itu amat tegas hanya menerima kes rasmi yang dilaporkan kedutaan,” jelasnya.

Justeru, beliau berasa pelik apabila ada laporan media mendakwa pihak kedutaan lambat bertindak walhal tiada aduan dibuat kepada pejabat perwakilan diplomatik itu di Phnom Penh.

Sedangkan ujarnya, jika maklumat diajukan kepada kedutaan, ia tentu disalurkan terus kepada pihak berkuasa Kemboja untuk tindakan susulan dan bukan ‘kecoh’ dengan sidang akhbar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×