TUMPAT: Ibu bapa serta anak kepada ejen jualan kosmetik Rosnazirah Mohd. Naim, 36, mangsa culik yang masih belum diketahui nasibnya diberikan khidmat kaunseling.
Ia bertujuan ‘meredakan’ tekanan dan trauma yang dihadapi oleh ahli keluarga mangsa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, kakak mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, dia berterima kasih kepada JKM yang prihatin dengan keadaan mereka.
“Selain ibu bapa sesi tersebut turut diberikan kepada anak tunggal Azie yang belum dapat melupakan insiden berkenaan.
“Mudah-mudahan sesi kaunseling ini dapat membantu kami sekeluarga menghilangkan rasa trauma selepas dikejutkan dengan kejadian tersebut.
“Setiap hari kami dalam kesedihan, selagi Azie belum ditemui, hati kami tidak tenteram. Mujurlah sanak saudara, jiran-jiran datang bertanya khabar, sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesedihan kami,” katanya di sini, semalam.
Utusan Malaysia 18 September lalu melaporkan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menghantar kaunselor dari JKM untuk membantu keluarga Azie
Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, usaha tersebut bertujuan meredakan trauma yang terpaksa ditanggung oleh keluarga berkenaan susulan kejadian culik tersebut.
Sementara itu, pemangku ketua polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, polis mendapat perkembangan positif mengenai siasatan kes berkenaan.
Katanya, pihaknya turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Menurutnya, polis sedang berusaha untuk menyelesaikan kes tersebut dan penculikan Azie itu turut mendapat perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang sentiasa mengikuti perkembangan terkini.
“Alhamdulillah, setakat ini, perkembangan amat positif dan kita yakin. Insya-Allah, kita akan mendapat berita baik dan sama-sama berdoa untuk kes ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Polis Komuniti di Masjid As-Syakirin, Mukim Kelewek di sini, semalam.
Muhamad Zaki memberitahu, pihaknya meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis berhubung kes tersebut.
“Kadang-kadang, ada benda yang tidak boleh dikongsi. Jadi, kita harap masyarakat dapat bekerjasama dalam menyelesaikan kes ini,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pihak berkuasa Thailand menyerbu dua rumah di tepi Sungai Golok, dipercayai menjadi lokasi Azi disembunyikan selepas dilarikan dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat pada Selasa minggu lalu.
Bagaimanapun, kedua-dua buah rumah itu tiada penghuni semasa serbuan dijalankan. – UTUSAN










