SEREMBAN: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador adalah calon terbaik mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) di Parlimen Rembau bagi misi menyelamatkan negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail berkata, perkara tersebut juga telah dibawanya ke pengetahuan kepemimpinan GTA dan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang).
“Saya ada memberikan pandangan kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Timbalan Pengerusi GTA), kalau GTA mahu menang dan kembali selamatkan negara, Abdul Hamid adalah orangnya.
“Memang ada usaha ke arah itu (jadikan Abdul Hamid calon) tetapi yang boleh ‘pujuk’ beliau hanya Tun Dr. Mahathir Mohamad seorang sahaja.
“Jika ditanyakan pandangan peribadi saya, memang menjadi hasrat saya untuk Abdul Hamid bertanding di Parlimen Rembau,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Akhbar ini semalam melaporkan, nama Abdul Hamid antara yang disebut-sebut sebagai antara individu terkenal yang akan menjadi calon pada PRU15.
Perkara tersebut diberitahu oleh seorang pemimpin kanan Pejuang yang memaklumkan nama Abdul Hamid dijangka diletakkan sebagai calon GTA.
PERTANIAN
Abdul Hamid yang menetap di Rembau dan kini aktif dalam bidang pertanian di Kampung Panchang itu mempunyai hubungan baik dan setia dengan Dr. Mahathir.
Mengulas lanjut, Mohamad Jani berpandangan lagi, individu yang mempunyai nama besar memang perlu diketengahkan sebagai calon GTA bagi mencipta kejutan pada PRU15.
“Di Rembau bukan senang untuk kalahkan Datuk Seri Mohamad Hasan, tetapi kami perlu ada strategi bagaimana mahu ‘langgar’. Jika diletakkan Abdul Hamid tentu ada peluang dan tembok itu boleh dipecahkan.
“Sekiranya hanya mahu meletakkan calon, baikkan letakkan saya sahaja kerana saya merupakan ketua Pejuang Negeri Sembilan, tetapi ada yang lebih hebat iaitu Abdul Hamid, matlamat kami adalah mahu menang.
Untuk Rembau dan negara, khidmat individu seperti Abdul Hamid memang diperlukan.
“Beliau bukan ahli Pejuang tetapi GTA memberi ruang kepada semua, termasuk pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan profesional serta individu tertentu yang mempunyai nama besar,” katanya.-UTUSAN










