PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) perlu membuat perubahan dan bersikap telus dalam pemberian geran kepada para penggiat filem bagi memastikan industri tersebut terus berkembang dan cemerlang pada masa akan datang.
Pengarah filem, U-Wei Saari berkata, Finas juga perlu meneliti secara terperinci setiap permohonan geran bagi tujuan pembikinan filem yang lebih berkualiti.
Beliau menegaskan, adalah penting bagi mengelakkan geran diberikan kepada pihak yang tidak sepatutnya sehingga tidak memberikan sebarang hasil.
“Satu perkara yang saya harap dan paling penting, Finas perlu ada ‘antena’ untuk kenal siapa pembikin filem dan siapa ‘nabi-nabi’ palsu dalam industri supaya tidak tersilap beri geran.
PEKA
“Selain itu, Finas harus tahu siapa dan apa sebenarnya berlaku dalam industri. Malah, Finas juga harus lebih peka dan kasih pada penggiat filem,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Dalam pembentangan Bajet 2022, sebanyak RM188 juta disediakan untuk inisiatif seperti Dana Kandungan Digital, projek Kandungan Multimedia Digital, Insentif Filem dan Program Perkasa Modal Insan.
Dalam pada itu, U-Wei berkata, Finas diibaratkan sebagai sebuah ‘bas rosak’ sehingga dilihat sebagai kekangan untuk terus berkembang dan menjadi agensi yang menyokong pembangunan filem pada masa hadapan.
“Bila ‘bas rosak’, alat ganti pula dipegang oleh orang tertentu dalam Finas. Bas sudah breakdown, tapi ‘tok empat’ simpan alat ganti dan tidak beri langsung.
“Jadi penumpang atau warga filem harus turun daripada bas dan berjalan atau ganti dengan bas lain,” ujarnya.
Beliau juga berharap Finas bertindak sebagai sistem sokongan agar dapat dijadikan penghubung dengan pasaran luar negara untuk filem-filem dari negara ini.
“Kita negara sedang membangun dan kita sememangnya memerlukan sokongan untuk menaikkan filem kita. Itulah peranan Finas. Tapi Finas lupa kerjanya dan saya harap Finas jangan lupa fungsi untuk membangunkan filem nasional.
“Finas tidak boleh berlagak macam bank dan bukannya badan yang harus membuat duit. Mereka perlu berfungsi sebagai satu sistem sokongan.
“Kalau boleh, lagi banyak filem tempatan ke luar negara lagi bagus. Jangan melayan impian untuk ke Oscar. Sudah 60 tahun kita cuba tapi tidak boleh. ‘Road to Oscar’ mengarut dan lebih baik lupakan sahaja,” jelasnya. – UTUSAN










