KUALA TERENGGANU: Pas tidak gentar dan tergugat dengan hasrat DAP Terengganu untuk meletakkan calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, beliau mendapati kewujudan Pakatan Harapan (PH) atau DAP khususnya di Terengganu tidak signifikan dalam kancah politik negeri itu.
“Berdasarkan analisis kita, kekuatan PH di Terengganu adalah antara yang terlemah di negara ini, jadi hasrat DAP untuk meletakkan calonnya di DUN Bandar tidak sama sekali menggentarkan Pas.
“Mungkin kita akan kehilangan antara 10 hingga 20 peratus sokongan pengundi Tionghua namun tidaklah sampai kalah dalam mempertahankan kerusi DUN tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan DAP Terengganu akan membuat penampilan semula di negeri itu pada PRU-15 akan datang setelah 32 tahun tidak berbuat demikian.
Pengerusinya, Ng Chai Hing berkata, buat permulaan, DAP akan meletakkan calon tunggalnya di kerusi DUN Bandar yang mempunyai lebih 22,000 pengundi yang mana, 30 peratus daripada jumlah itu adalah pengundi Tionghua.
Tambahnya, keputusan itu dibuat setelah terlalu lama DAP berkorban untuk memberi laluan kepada rakan sekutu dalam pakatan pembangkang iaitu PKR dan Pas bertanding dalam beberapa PRU dan PRK sebelum ini.
Mengulas lanjut, Ariffin berkata persaingan di Terengganu pada asasnya hanya melibatkan dua parti Melayu dan Islam yang terbesar sahaja iaitu Pas dan UMNO manakala PH bukanlah ancaman utama di negeri itu.
Tambahnya, buat masa ini, keputusan Perikatan Nasional (Pas dan Bersatu) adalah bersaing dengan UMNO di kesemua 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen di Terengganu.
“Ini berdasarkan pengumuman Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu iaitu Datuk Seri Ahmad Said untuk bertanding di semua kerusi tersebut,” katanya.
Pada PRU-14 yang lalu, Ahmad Shah Muhamed daripada Pas menang dengan mendapat 7,133 undian ketika menentang Toh Seng Cheng daripada Barisan Nasional (MCA) yang mendapat 5,042 undi. Majoriti undi ialah sebanyak 2,091.-UTUSAN











