80,747 kilang ancam sungai

80,747 kilang ancam sungai

KILANG-kilang haram yang dibina di kawasan pedalaman bagi mengelak dikesan pihak berkuasa meningkatkan lagi risiko pencemaran sungai dan udara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sejumlah 80,747 kilang direkodkan Ja­batan Alam Sekitar (JAS) di seluruh negara berpotensi me­nyebabkan pencemaran ter­utama terhdap sumber air mi­numan sekiranya peng­usaha­nya gagal mematuhi pro­sedur operasi yang ditetapkan khususnya dalam rawatan sisa efluen.

Lebih memburukkan ke­­­­a­daan ialah wujud juga yang beroperasi secara haram tetapi tidak dapat dipantau kerana tiada rekod rasmi dari segi jumlah dan lokasi kilang-kilang ber­kenaan.

Mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, kebanyakan premis kilang haram itu dibina di kawasan-kawasan terpencil dan jauh dari penempatan se­perti dalam kawasan ladang dan tanah berstatus pertanian.

ALAMAT PALSU

Kata beliau, kilang-kilang haram itu dikesan menggunakan alamat premis palsu bagi mengelak pemantauan oleh JAS sekiranya ada aduan dite­rima daripada orang awam.

“Yang menjadi persoalan ialah bagaimana kilang-kilang yang ‘diklasifikasikan’ sebagai haram ini tetapi mampu menjalankan operasi mereka dengan mempunyai bekalan air dan elektrik, seolah-olah tiada tindakan diambil pada peringkat awal.

“Bila berlaku pencemaran, masyarakat buat laporan kepada kami, di situ baru kami akan masuk dan ambil tindakan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Latiff berkata, tindakan yang boleh diambil pihaknya adalah di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 iaitu pe­nguatkuasaan terhadap premis yang berpotensi menyebabkan pencemaran sama ada ia berlesen atau kilang haram.

“Ketika ini, sebanyak 80,747 kilang-kilang berada di bawah pemantauan kami. Bagi senarai kilang haram, pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Tanah dan Daerah di seluruh negara mungkin ada senarai,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Wan Abdul Latiff, kilang haram yang paling berisiko mencemarkan alam sekitar ialah kilang memproses bahan dikitar semula.

Antaranya ialah kilang kitar semula sisa plastik yang menggunakan bahan plastik terpakai, kilang memproses barangan elektrik dan elektronik (e-waste) dan kilang memproses tayar terpakai (pyrolysis).

KOS TAMBAHAN

“Punca utama premis ini menjalankan kegiatan secara haram adalah tidak mahu mengeluarkan kos tambahan bagi pengurusan kawalan pencemaran dan menggaji pegawai yang tahu mengurus bahan buangan, sebaliknya hanya memikirkan keuntungan.

“JAS mendapati premis berkenaan tiada sistem kawalan pencemaran untuk me­ngawal efluen yang dihasilkan atau mengawal pencemar yang dilepaskan ke udara atau ke dalam longkang yang akhirnya mengalir ke dalam sungai,” jelasnya.

Kata Wan Abdul Latiff, bahan-bahan sebatian kimia yang membahayakan yang sering ditemui dari premis yang menjalankan aktiviti pyrolysis ialah metana, hidrogen klorida, acrylonitrile, acrolein, ethyl benzene, aldrich toluene, xylene dan limonene.

“Bahan pencemar seperti plumbum, zink, kuprum, arsenik, sianida pula dikesan dalam aktiviti kilang e-waste. Penghasilan bahan-bahan ini jika tidak dikawal dengan sempurna akan mendatangkan kemudaratan kepada alam sekitar dan kesihatan manusia,” tegas­nya.

Ujar beliau, kilang-kilang ha­ram itu juga menghasilkan buangan toksik dan berbahaya yang dikategorikan sebagai Buangan Terjadual dan dilupuskan secara haram.

Menurut Wan Abdul Latiff, secara prinsipnya, apa juga bahan mentah dan juga buangan yang dihasilkan oleh sesebuah premis tidak akan membahayakan jika ia dikendalikan dan diuruskan dengan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN