10 kawasan di Johor Bahru dilanda banjir kilat - Utusan Malaysia

10 kawasan di Johor Bahru dilanda banjir kilat

Anggota bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam banjir kilat yang berlaku di Kampung Mohd. Amin, Johor Bahru pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hujan lebat  dua jam di beberapa kawasan di negeri ini menyebabkan sebanyak 10 kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat sejak awal pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Johor dalam satu kenyataan memaklumkan, antara kawasan terjejas ialah Batu 10, Skudai; Kampung Dato’ Sulaiman Menteri; Tabika Kemas, Skudai Kiri dan Kampung Mohd. Amin.

“Turut dinaiki air ialah Kampung Ubi, Kampung Tiram Duku, Kampung Peladang, Kampung Baru Muafakat, Kampung Pekajang dan Kampung Paya Mengkuang,” demikian menurut kenyataan berkenaan.

Susulan itu, terdapat dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Batu Pahat iaitu Kampung Seri Bengkal dan Kampung Bintang Peserai.

“PPS Sekolah Agama Seri Bengkal dibuka seawal pukul 8 pagi tadi dan hingga kini menempatkan seramai 29 mangsa daripada 11 keluarga yang juga penduduk Kampung Seri Bengkal.

“PPS Sekolah Kebangsaan Peserai pula dibuka pukul 12 tengah hari bagi menempatkan penduduk Kampung Bintang Peserai yang terjejas,” jelas kenyataan itu.

Dalam masa sama, pihaknya turut melaporkan berlakunya ribut di daerah Pontian dan Muar.

“Di Pontian kawasan yang menjejaskan ialah Kampung Sungai Naga, Api-Api; Air Baloi dan Parit Haji Omar, Kayu Ara Pasong manakala di Muar pula, dilaporkan ialah di Kampung Parit Jamil dan Sabah Awor,” jelasnya.

CEMAS

Sementara itu, seramai 14 kanak-kanak dan lima guru Tadika Umiku Sayang di Kampung Mohd. Amin di sini berdepan detik cemas apabila premis itu dinaiki air banjir ekoran hujan lebat.

Pegawai Bomba Kanan II, Nazarudin Yusof berkata, bomba  menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.30 pagi dan setiba di tempat kejadian, anggota bertindak menyelamat dan memindah mangsa yang terperangkap ke kawasan selamat, iaitu di sebuah restoran makanan segera yang terletak kira-kira 550 meter dari lokasi kejadian.

“Setelah memastikan keadaan selamat dengan keadaan banjir kilat yang sudah kembali surut, operasi tersebut ditamatkan pada pukul 10.45 pagi,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya