PETALING JAYA: Perkongsian maklumat dari jabatan atau agensi kerajaan kini perlu melalui tapisan pihak atasan sebelum dikeluarkan kepada media untuk disebarkan kepada orang ramai.
Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, mana-mana ketua jabatan tidak boleh lagi memberi maklum balas kepada media selagi tidak mendapat kelulusan peringkat kementerian.
Katanya, perkara itu adalah berdasarkan satu pekeliling dikeluarkan baru-baru ini yang mengarahkan supaya tidak membuat sebarang pernyataan awam yang boleh memberi implikasi kepada nama baik perkhidmatan awam serta kerajaan.
Situasi itu dilihat menyukarkan petugas media mendapatkan jawapan segera daripada pihak berkuasa jika timbul isu yang membabitkan kepentingan rakyat.
Lebih menyukarkan apabila media perlu menunjukkan dahulu kepada pihak terlibat setiap rangka berita yang ditulis sebelum disiarkan kononnya bagi mengelak dimanipulasi, diputar belit atau disensasikan.
TELUS
Perkara sedemikian menunjukkan kerajaan tidak bersikap telus dalam penyampaian kepada rakyat.
Setiap jawapan yang mahu dilaporkan adalah demi memberikan penjelasan sebenar ataupun sekurang-kurangnya membantu kerajaan menguar-uarkan kepada rakyat segala tindakan dan dasar untuk pembangunan negara.
Baru-baru ini, dalam satu surat edaran bertajuk Peringatan Berkaitan Arahan Larangan Membuat Pernyataan Awam Oleh Pegawai Awam bertarikh 8 Ogos menyatakan, pegawai awam perlu berkelakuan baik serta tidak membuat sebarang pernyataan awam yang boleh memberi implikasi kepada nama baik perkhidmatan awam dan kerajaan.
Ini termasuk tidak menyebarkan berita palsu, membuat tohmahan atau fitnah membabitkan pegawai awam lain hingga membelakangi tugas awam.
Pegawai awam juga, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah menerusi surat edaran itu, dilarang menyalahgunakan hak kebebasan bersuara dan kecanggihan teknologi untuk mencapai agenda peribadi sehingga melanggar peraturan dan undang-undang berkuat kuasa yang menjadi asas perkhidmatan awam negara.
“JPA tidak boleh dan tidak akan berdiam diri dengan membiarkan mana-mana pegawai awam difitnah dan diperlakukan secara tidak adil oleh mana-mana pihak lain yang bertujuan mencapai agenda peribadi yang tidak baik,” katanya.
Turut diingatkan dalam surat edaran itu, pegawai awam tidak seharusnya bertindak balas dengan melakukan provokasi terhadap teguran orang awam, penyelia, rakan sejawat atau pegawai atasan membabitkan penyampaian perkhidmatan yang kurang memuaskan.
Provokasi melampau bagi meraih perhatian umum atau dijadikan bahan viral, boleh disifatkan sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan budaya kerja pegawai awam selain bertentangan dengan peraturan dan undang-undang. – UTUSAN










