PETALING JAYA: UMNO dan Kabinet tidak mengetahui dan dimaklumkan berhubung perjanjian persefahaman yang dikatakan dimeterai antara pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum pembentukan kerajaan baharu pada Ogos tahun lalu.
Para pemimpin UMNO dan anggota Kabinet daripada parti itu ketika dihubungi mengakui tidak menyedari kewujudan perjanjian dan butirannya yang dikatakan dimeterai antara Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri bagi menyokong Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri.
Antara kandungan perjanjian itu adalah jawatan Timbalan Perdana Menteri yang akan diserahkan kepada ahli Parlimen ditetapkan Bersatu manakala jumlah anggota Jemaah Menteri dan timbalan menteri diperuntukkan kepada parti dikekalkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu tidak pernah dibawa apatah lagi dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan beliau hanya membacanya setelah tular semalam.
Bagaimanapun, kata beliau, soal pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan anggota Kabinet adalah hak prerogatif Ismail Sabri selaku Perdana Menteri serta tidak perlu dibincangkan dalam parti.
“Namun UMNO melihat tarikh pembubaran Parlimen ke-14 yang terkandung dalam perjanjian itu, perlu diadakan selewat-lewatnya pada Julai 2022 atau mana-mana tarikh dipersetujui haruslah diperbincangkan segera dalam lima kepimpinan tertinggi parti, MT dan Barisan Nasional (BN).
“Ini bukan saya kata, tetapi dokumen itu secara jelas menyebut tarikh pembubaran Parlimen,” katanya.
Kelmarin tular dokumen perjanjian yang didakwa dimeterai antara Muhyiddin dan Ismail Sabri bertarikh 17 Ogos 2021 apabila bersetuju Naib Presiden UMNO tersebut dilantik sebagai Perdana Menteri.
Malah perjanjian turut menyebut Perdana Menteri yang baharu dilantik juga hendaklah memberikan aku janji akan mengadakan rundingan dan mencapai suatu persefahaman dengan pihak-pihak sebelum menentukan tarikh pembubaran Parlimen Ke-14 yang akan diadakan selewat-lewatnya pada Julai 2022 atau mana-mana tarikh dipersetujui bersama.
Ketika ditanya sama ada perjanjian itu membelakangi parti, Ahmad enggan menggulas perkara itu dan sekali lagi menjelaskan pelantikan Kabinet bidang kuasa Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengakui beliau tidak menyedari perjanjian tersebut yang kononnya dimeterai sebelum pembentukan kerajaan pada Ogos tahun lalu.
Katanya lagi, pihaknya hanya mengetahui satu sahaja perjanjian iaitu persefahaman antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) dan perkara itu didedahkan kepada umum termasuk dalam UMNO sendiri.
Beliau melihat perjanjian melantik Timbalan Perdana Menteri tidak sesuai buat masa sekarang kerana tempoh hayat Parlimen ke-14 hanya berbaki 10 bulan.
“Jadi buat apa hendak lantik Timbalan Perdana Menteri sebab pilihan raya umum sudah dekat. Tetapi kalau nak buat perjanjian baharu, kita dalam MT memutuskan tiada perjanjian baharu melainkan menyegerakan pilihan raya umum dan ketetapan ini juga dipersetujui perwakilan UMNO sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ahli MT UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii menyifatkan penyebaran dokumen itu sebagai tikam belakang terhadap kerajaan pimpinan Ismail Sabri sekali gus mempunyai niat lain terhadap UMNO.
Beliau menegaskan, UMNO dan Perdana Menteri tidak perlu melayani tuntutan Bersatu yang dilihat mempunyai agenda tersendiri.
“Kita pun tidak tahu kesahihan dokumen sama ada benar atau tidak, tetapi hakikatnya ia untuk mengeruhkan perpaduan dalam UMNO sendiri,” katanya.
Sementara, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang menjadi saksi perjanjian tersebut enggan mengulas berhubung perkara itu.
“Saya minta maaf,” katanya dengan ringkas. – UTUSAN










