Syor penjara seumur hidup

Syor penjara seumur hidup

Ruang jualan minyak masak peket bersubsidi yang kosong di sebuah pasar raya di Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan undang-undang lebih tegas iaitu hukuman penjara seumur hidup terhadap pihak terlibat dalam penyeludupan barang bersubsidi yang disifatkan sebagai satu pengkhianatan kepada negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, buat masa ini, hanya Akta Kastam 1967 yang mene­tapkan hukuman denda atau penjara maksimum lima tahun terhadap pesalah aktiviti penyeludupan, namun ia dilihat kurang taring untuk mengekang kegiatan tersebut yang berlaku sejak sekian lama.

Beliau menegaskan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang gagal mendapat kelulusan Parlimen perlu dikembalikan semula memandangkan undang-undang itu mampu memberi kuasa kepada pihak polis menyiasat secara terperinci sebarang tindakan menggugat ketenteraman tanah air termasuk penyeludupan barang subsidi.

Ujarnya, selama tiada tindakan tegas, selagi itulah perbuatan yang menyebabkan negara rugi lebih jutaan ringgit tidak mampu dibanteras, sekali gus dilihat mengkhianati rakyat berpendapatan rendah yang amat memerlukan barangan keperluan asas untuk mengisi perut masing-masing dan keluarga.

“Jadi kerajaan perlu menggubal satu undang-undang khusus berkaitan penyeludupan barang bersubsidi dengan mengenakan hukuman penjara seumur hidup dan denda lebih tinggi terhadap mereka yang terlibat.

“Kita tidak boleh membiarkan mereka terlibat yang ha­nya mahu mengelak daripada membayar cukai dan mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Maka kerajaaan harus tegas terhadap perbuatan tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini memaklumkan kerajaan melaksanakan program pemutihan minyak masak peket melibatkan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengatasi ketirisan yang menyebabkan negara kerugian jutaan ringgit dan kekurangan bekalan.

Kerajaan juga mengambil tindakan pembatalan lesen kepada ratusan syarikat yang terbabit dalam pengedaran minyak masak bersubsidi itu.

Mengulas penguatkuasaan SOSMA dan Akta Pencegahan Jenayah 1957 (POCA), Musa menambah, meskipun undang-undang itu dilihat berkesan memerangi penyeludupan minyak masak, namun ia dipertikai oleh pihak tertentu sehingga gagal mendapat kelulusan Parlimen.

Katanya, kedua-dua undang-undang pencegahan itu amat diperlukan untuk mencegah perbuatan dilakukan oleh sindiket jenayah terutama sekali dalam kes-kes jenayah terancang seperti kongsi gelap, aktiviti kegiatan haram dan penyeludupan yang dilakukan sindiket. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN