PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negara semalam sehingga membawa kepada penahanan 37 individu yang dipercayai menggunakan platform Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) untuk membuat tuntutan palsu sehingga RM100 juta.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, menurut sumber, mereka yang ditahan terdiri daripada pengarah, pemilik, pengurus dan jurutera-jurutera melibatkan 26 lelaki dan 11 wanita berusia antara 28 hingga 70 tahun daripada 64 buah syarikat berstatus sendirian berhad.
Katanya, SPRM turut membekukan akaun bernilai RM7.3 juta milik syarikat berkenaan.
“Modus operandi 64 syarikat berstatus sendirian berhad itu telah dikenal pasti SPRM. Mereka sepatutnya membuat latihan dan menggaji pekerja dalam bidang industri, namun mengambil kesempatan mengemukakan tuntutan-tuntutan palsu dan menyeleweng dana program berkenaan.
“Majikan-majikan berkenaan dipercayai mengambil data daripada orang luar atau berpakat dengan pembekal latihan untuk membuat tuntutan palsu dengan insentif yang ditawarkan itu.
“Kebanyakan pekerja yang dikatakan bekerja dengan majikan-majikan berkenaan tidak pernah bekerja pun,” katanya di sini, semalam.
Menurut sumber itu lagi, terdapat dua skim penyelewengan yang dilakukan syarikat-syarikat terlibat iaitu pertama dengan membuat tuntutan kononnya membuat latihan kepada pekerja walhal tiada latihan diberikan.
Kata beliau, ada juga syarikat dikenal pasti mengajikan pekerja sedangkan nama yang disenaraikan untuk membuat tuntutan tidak bekerja di syarikat tersebut.
Mengulas lebih lanjut, kata sumber, rentetan daripada itu, satu operasi khas dikenali Op Hire dilancarkan SPRM dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) semalam di seluruh negara.
Kata sumber itu, penahanan kesemua suspek dilakukan di semua negeri tidak termasuk di Sabah, Sarawak, Terengganu dan Labuan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan mengenai penahanan itu tetapi enggan mengulas lanjut.
Beliau berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan mana-mana kesalahan di bawah jenayah.
Untuk rekod, Program Penjana Kerjaya merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran Covid-19 bermula awal tahun 2020.
Program ini dilaksanakan oleh Perkeso bagi tujuan merangsang ekonomi negara melalui perwujudan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja.
SPRM dalam satu kenyataan kelmarin memberitahu, operasi besar-besaran dikendalikan oleh Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya bersama-sama SPRM Negeri dijalankan secara serentak.
SPRM dengan kerjasama Perkeso telah membangunkan maklumat menerusi pemantauan dan risikan terhadap penerima dana dan mendapati ada majikan-majikan yang mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana ini.
SPRM memandang serius isu berkenaan kerana ia berkepentingan awam sekali gus memberi jaminan akan menyiasat secara menyeluruh bagi memastikan pihak-pihak yang terlibat dikenakan tindakan tegas berlandaskan undang-undang yang berkuatkuasa. – UTUSAN










