MELAKA: “Minta maaf emak ayah, maaf zahir batin, kita semua kena ingat umur kita reput, bila-bila masa boleh pergi”.
Itu kata-kata terakhir pesara guru yang maut ditikam anak sendiri kepada keluarga adiknya, Mohamed Hisham Md. Dom, 54, yang datang menziarahi mangsa sehari sebelum kejadian.
Menurut Mohamed Hisham, dia perasaan sesuatu yang janggal apabila kakaknya meminta maaf dan memberi pesanan mengenai ajal, namun tidak mengambil serius kerana menganggapnya sebagai tersasul.
“Saya mahu ke rumah abang, tetapi membatalkan rancangan tersebut kerana abang tiada di rumah dan terlintas untuk singgah ke rumah kakak. Kami sekeluarga disambut mesra dan kakak sempat jamu kami hidangan ketam masak lemak.
“Kami berbual biasa dan tiada apa yang pelik dengan tingkah laku kakak. Ketika hendak balik dia bersalaman sambil meminta maaf. Rasa pelik juga apabila cakap maaf zahir dan batin sedangkan bukan hari raya.
“Bagi saya mungkin dia terlepas cakap memandangkan kami lama tidak berjumpa. Tanpa disangka itulah pesanan pertemuan dan pesanan terakhir kakak kepada kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu di sini semalam.
Sementara itu, abang mangsa, Abbas Md. Dom, 66, memaklumkan, suspek pembunuhan tersebut merupakan seorang anak yang baik, menghormati orang tua dan lemah-lembut.
Katanya, dia sendiri terkejut dan tidak menyangka kejadian tragis seperti itu boleh berlaku sedangkan perwatakan anak saudaranya disenangi ahli keluarga yang lain.
Mangsa, Roziah Md. Dom, 63, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tangga Batu bersebelahan pusara suaminya yang baharu sebulan meninggal dunia. – UTUSAN










