Isu ayam: Ibarat ‘gali lubang, kambus lubang’?

Isu ayam: Ibarat ‘gali lubang, kambus lubang’?

Peladang didakwa mencatukan bekalan ayam ke pasaran bagi meningkat harga jualan sehingga RM11 sekilogram. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan mem­benarkan syarikat gerga­si mengeksport ayam sejuk beku ke Singapura tetapi pada masa sama terpaksa mengimport dari Thailand ibarat ‘gali lubang, kambus lubang’ berhubung sekatan jualan ke negara jiran itu sebelum ini.

Sumber dalaman industri berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bertanggungjawab mem­­beri pen­jelasan kerana pihaknya mengesyaki terdapat percaturan di sebalik sekatan itu yang bertujuan menguntungkan kartel ayam di negara ini.

“MAFI harus jujur menjelaskan kepada rakyat, pertama sekali apakah yang dimaksudkan sebagai sekatan eksport ayam ke Singapura yang berkuatkuasa 1 Jun lalu? Ayam jenis apakah yang dilarang dieksport ke sana?

“Kalau ayam hidup, apakah jaminan bahawa syarikat gergasi yang sekarang mengeksport ayam sejuk beku sebagai alternatif, mereka ini tidak memanipulasi kelompongan dalam rantaian bekalan tersebut? Maksudnya, mereka boleh saja sembelih ayam hari ini, bekukan dan dua hari kemudian, mereka eksport ayam tersebut ke Singapura,” kata sumber.

Sumber yang juga antara arkitek penubuhan Federasi Ternakan Ayam yang ditubuhkan baru-baru ini berkata, jika matlamat menghentikan sementara eksport ayam kerana mahu memerangi kartel yang berterusan mengeksplotasi be­kalan dan pasaran ayam, maka langkah itu dilihat gagal kerana syarikat gergasi industri masih menguasai bekalan eksport ayam sejuk beku ke Singapura.

“Kononnya serius mahu me­merangi kartel. Tapi realitinya, kartel berjaya mencaturkan dengan mengelirukan rakyat.

“Mereka beri alasan sektor ternakan ayam di bawah mereka terjejas sebab tak boleh eksport ayam ke Singapura sedangkan banyak modal dikeluarkan. Tapi di belakang tabir kartel itu sendiri masih berterusan diberi kelonggaran eksport ayam sejuk beku pula ke Singapura,” dakwa sumber.

Malah sumber mendakwa, pihaknya difahamkan susulan mengeksport ayam beku ke Singapura, negara terpaksa pula mengisi kekosongan mengimport ayam beku dari Thailand.

“Bukankah ini dikatakan gali lubang, kambus lubang? Bukankah ini merugikan negara? Jelas sekali, kita kerugian dari segi tukaran asing kerana bayaran ayam beku meskipun dari Thailand, tetap dalam dolar Amerika Syarikat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN